Mardi, Jabatan Pertanian Cari Jalan Elak Lambakan Buah Tempatan
KUALA TERENGGANU, 8 Ogos (Bernama) -- Mardi, Jabatan Pertanian atau saintis diminta mencari jalan termasuk mengadakan kajian mengenai buah-buahan tempatan supaya ia boleh bertahan lama dan tidak berlaku lambakan dalam pasaran seperti sekarang.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata di negara-negara lain, mereka boleh menghasilkan produk daripada buah-buahan, selain isinya dimakan.
"Contohnya di Thailand, dia beli buah rambai daripada kita, isi buah rambai diguna untuk buat arak dan kulitnya dijadikan bedak. Memang kita tidak boleh buat arak tetapi sekurang-kurangnya kita boleh buat bedak.
"Begitu juga kita ada durian, tetapi kita makan isi .. di Thailand dia buat coklat dan macam-macam lagi," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Mini MAHA 2010 di Dataran Shah Bandar di sini malam tadi.
Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Johari Baharum.
Beliau berkata buah-buahan tempatan seperti durian, duku, rambutan, longan, dokong dan lain-lain adalah bermusim dan berada dalam pasaran sekaligus, menyebabkan harga jatuh.
Namun begitu, masalah itu boleh diatasi sekiranya buah-buahan berkenaan dijadikan produk seperti yang dilakukan oleh negara-negara lain, katanya.
Ahmad berkata sekarang ini, lambakan buah-buahan tempatan telah berlaku dalam pasaran terutama di negeri ini.
Beliau berkata perkara ini berlaku berulang kali dan sudah tiba masanya satu teknologi baru dicari supaya lebih kreatif dan inovatif.
Sementara itu, Johari berkata Terengganu menerima peruntukan RM44 juta tahun ini untuk pelbagai bantuan dan pinjaman kepada penternak, petani dan nelayan di negeri itu.
Mini MAHA tersebut akan berlangsung selama lima hari bermula semalam.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan