Dipanggil 'bodoh', pekerja kilang Indonesia merusuh
JAKARTA 22 April - Beribu-ribu pekerja kilang di Indonesia membakar barisan kereta dan sebuah gudang hari ini selepas seorang eksekutif India memanggil mereka 'bodoh', lapor polis dan media.
Sembilan orang dilaporkan cedera apabila kumpulan pekerja mengamuk di kilang milik PT Drydock World Graha di bandar Batam, kawasan ekonomi khas di selatan Singapura.
"Seorang eksekutif syarikat dari India memanggil kami, pekerja Indonesia sebagai bodoh dan itu membuatkan kami marah," kata seorang pekerja, Disra yang dipetik agensi berita Antara.
Kira-kira 400 orang polis dipanggil mengawal keadaan dan memindahkan 41 kakitangan asing dari kilang di pinggir pantai itu.
Sebanyak 20 buah kereta dibakar termasuk sebuah gudang milik syarikat tersebut.
Komander polis tempatan, Leonidas Braksan bercakap dengan semua pekerja terlibat menggunakan pembesar suara dan meminta semuanya bertenang.
"Saya di pihak kamu. Saya mahu kamu semua bekerja dengan baik. Keluarga kamu menanti kamu dan wang gaji kamu di rumah," katanya lagi.
Leonidas menyatakan rakyat asing yang menghina Indonesia patut meninggalkan negara ini dan ia disambut dengan sorakan pekerja yang turut menyanyikan lagu kebangsaan dan lagu patriotik lain.
"Pekerja secara spontan membakar kereta apabila berasa tersinggung dan marah selepas seorang eksekutif syarikat berasal dari India, mengatakan rakyat Indonesia bodoh.
"Situasi kini terkawal dan kami telah membawa keluar penunjuk perasaan dari kompleks syarikat," kata jurucakap polis kebangsaan, Zulkarnain kepada pemberita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan