GUNAKAN SALURAN YANG BETUL AMBIL ANAK ANGKAT
Oleh: GONDOLOU SIKAG
IBU BAPA yang ingin mengambil anak angkat atau mengangkatkan anak kepada seseorang, haruslah dibuat melalui saluran yang betul bagi mengelak kes penderaan kanak-kanak yang mula menjadi kudis dalam masyarakat majmuk di Malaysia.
“Kanak-Kanak hari ini adalah permata negara di masa hadapan. Sayangilah mereka. Mengabaikan mereka bermakna kita memusnahkan masa hadapan Malaysia, apatah lagi jika yang mendera itu adalah darah daging mereka sendiri,” ujar Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun yang juga Adun Keranaan, Ranau.
Masidi menyatakan demikian melalui SMS yang dihantar kepada krew Sabahkini.net sebagai mengulas kes penderaan seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun yang berasal daripada Kampung Kenipir, Ranau oleh ‘Ibu Angkatnya’ di sebuah rumah peneroka Felda, Sahabat 1, Anjung Teduh, Lahad Datu, Sabah.
“Saya harap pihak Polis akan membuat siasatan terperinci ke atas kejadian ini agar tindakan yang bersesuian dapat diambil ke atas mereka yang terlibat. Kes ini juga satu peringatan dan pengajaran supaya pengambilan anak angkat dibuat melalui saluran undang-undang agar Jabatan Kebajikan dapat memantau pembesaran dan kebajikan anak angkat dari semasa ke semasa,” kata Masidi yang sedang dalam rangka lawatan kerja ke luar negara.
Tegas Masidi lagi, senario ini bertambah parah jika melibatkan pemindahan anak tersebut ke tempat bermastautin yang jauh daripada kampung asal sehingga keluarga asal tidak dapat menemui lagi kanak-kanak tersebut.
“Saya juga merayu agar jiran dan orang ramai dapat melaporkan kejadian seperti ini kepada pihak Polis atau Jabatan Kebajikan sekiranya ternampak atau mengetahui kes-kes penderaan di tempat mereka tinggal dan tidak menunggu sehingga mangsa mengalami kecerdaan fizikal dan penderaan mental yang lebih teruk,” ujar Masidi yang turut menggesa agar Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah melakukan sesuatu untuk membendung gejala penganiayaan dan penderaan kanak-kanak yang semakin serius.
Masidi turut menghargai dan merakamkan ucapan terima kasih sikap dan individu serta NGO yang bertanggungjawab membawa kes ini kepada pengetahuan pihak berkuasa yang membolehkan mangsa yang terlibat dapat diselamatkan.
Menurut Masidi, walaupun beliau berada di luar negara, namun pihaknya melalui Pemimpin Kemajuan Rakyat Ranau, Wahab Rashman, telah berusaha keras dan berjaya menemui keluarga asal kanak-kanak tersebut yang dikenali sebagai ‘Nana’ dalam tempoh tidak sampai 24 jam setelah menerima maklumat awal daripada sebuah NGO di Lahad Datu Sabah.
Siasatan Sabahkini.net di Kampung Kenipir, Ranau mendapati ‘Ibu Angkat’ yang mendera kanak-kanak yang bernama Fansyarina Bte Abdullah adalah dipercayai ‘Nenek’ kepada kanak-kanak berkenaan.
Kanak-kanak tersebut telah ‘diambil dan dipelihara’ oleh ‘neneknya’ sejak berusia satu tahun namun akibat kenakalannya, kanak-kanak tersebut diserahkan kepada beberapa keluarga sebelum diambil kembali oleh nenek berkenaan untuk dijadikan ‘hamba abdi’ di rumahnya di Lahad Datu.
Namun ianya masih menjadi misteri ke mana menghilangnya ibu kandung kanak-kanak tersebut, Shasha, yang dipercayai berada di Lahad Datu atau Ranau setelah bercerai dengan bapa kanak-kanak tersebut yang dipercayai berada di Papar.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah pada selasa mengesahkan pihaknya telah berjaya menangkap ibu angkat yang mendera kanak-kanak tersebut di rumah tertuduh di Anjung Teduh, Felda Sahabat, Lahad Datu, Sabah.
Tertuduh, Saniah Binti Basial,55, masih ditahan reman di lokap Balai Polis Lahad Datu bagi membolehkan Polis menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 17 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Menurut siasatan Sabahkini.net, kanak-kanak tersebut dipercayai didera dengan teruk oleh ‘Ibu Angkat’nya sehingga mengalami kecederaan serius di kepala, tangan, punggung, belakang badan dan mata akibat dipukul dengan pelbagai objek termasuk payung dan kayu.
Penderaan ini telah lama berlaku dan hanya dilaporkan oleh jiran berdekatan yang menghubungi polis ketika melihat kanak-kanak tersebut didera sehingga berdarah setelah dijadikan ‘hamba abdi’ di rumah ‘Ibu Angkat’nya yang beragama Islam, sedangkan kanak-kanak tersebut dan seluruh keluarganya beragama Kristian mazhab Roman Katholik.
Kanak-Kanak tersebut dijadikan ‘Hamba Abdi’ untuk menjalankan semua kerja di rumah berkenaan sejak berusia lima tahun tanpa diberi makanan dan pakaian sejak dua tahun lalu, tidak dibenarkan bersekolah.
Bagi mengelakkan kanak-kanak tersebut merayau ke rumah jiran, 'Ibu Angkat' telah menggunting pendek rambutnya seperti kanak-kanak lelaki dan sering kali diikat kedua belah kaki dan tangan dan dikurung di tandas di rumah mereka.
“Dia terpaksa meminta makanan daripada rumah jiran dan saya juga turut memberikan wang untuk dia membeli makanan ringan,” kata seorang jiran yang meminta agar namanya dirahsiakan.
Sehingga berita ini ditulis, kanak-kanak tersebut masih dirawat di Hospital Lahad Datu dan dalam keadaan stabil.
Mengikut maklumat daripada Hospital Lahad Datu tidak ada walau seorangpun keluarga atau keluarga angkat menziarahi kanak-kanak tersebut yang dikawal rapi dan ini merupakan kes penderaan kedua tahun ini yang diserahkan ke Hospital Lahad Datu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan