Sabtu, Mac 13, 2010

CUKAI BARANGAN DAN PERKHIDMATAN (GST) TIDAK AKAN DIBENTANGKAN BAGI BACAAN KEDUA APABILA PARLIMEN BERSIDANG ISNIN,

Husni: Rang Undang-Undang GST Tidak Akan Dibentangkan Bagi Bacaan Kedua Di Parliamen

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak akan dibentangkan bagi bacaan kedua apabila Parlimen bersidang Isnin, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Katanya kerajaan memerlukan lebih banyak masa untuk mengumpul maklum balas dari rakyat.

"Ia (GST) tidak akan dibentangkan bagi bacaan kedua pada sesi (Parlimen) Mac/April kerana kita memerlukan lebih banyak masa untuk mendapatkan maklum balas dari orang ramai.

"Kami mahukan pendapat orang ramai mengenai GST," kata Husni selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Dewan Perniagaan Melayu Kuala Lumpur (DPMMKL) di sini pada Sabtu.

Rang undang-undang itu dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Parlimen Disember lepas.

Mengenai bila ia akan dibentangkan, Husni berkata: "Ia akan bergantung kepada perbincangan dengan orang ramai mengenai bagaimana rakyat melihat pelaksanaan GST itu. Jadi, kita tidak menetapkan satu tempoh masa mengenai perkara itu."

GST yang dicadang dikuatkuasakan pada suku ketiga tahun depan itu, bermatlamat untuk melebarkan asas cukai dan mengurangkan defisit negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan