NGO kumpul anak Sabah di Semenanjung
TENOM 16 Feb. - Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) akan ditubuhkan dalam masa terdekat bagi mengumpulkan belia-belia Sabah yang berada di Semenanjung di bawah satu bumbung.
Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar berkata, penubuhan sebuah NGO itu diputuskan selepas pihaknya mengadakan sesi dialog bersama beberapa kumpulan belia Sabah di Semenanjung baru-baru ini.
''Selain memudahkan belia atau anak-anak Sabah berkumpul melakukan aktiviti, ia juga boleh digunakan untuk menjaga kebajikan dan keselamatan belia-belia Sabah di sana," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas perkembangan terbaru usaha mengatasi masalah belia-belia Sabah di Semenanjung yang dilaporkan banyak melarat di jalanan akibat ditipu majikan dan kesempitan hidup.
Menurut Jamawi, badan tersebut akan didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan bagi memastikan ia diurus mengikut peraturan dan sistematik.
Beliau menambah, sebagai permulaan, NGO tersebut akan menjadikan persatuan anak-anak Sabah di universiti sebagai sasaran untuk mengumpul mereka di bawah satu bumbung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan