Bomoh merogol dipenjara dan sebat
SIBU: Seorang ‘bomoh’ warganegara Indonesia dijatuhi hukuman 20 tahun penjara dan 18 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan rogol.
PENJARA DAN SEBAT: Pendi (kiri) diiringi keluar dari Mahkamah Sesyen di Sibu setelah mengaku bersalah atas dua pertuduhan merogol.
Pendi Pawan, 39, dijatuhi hukuman itu oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, M. Rajalinggam selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh.
Rajalinggam ketika menjatuhkan hukuman menyifatkan apa yang dilakukan oleh tertuduh merupakan satu kesalahan yang serius.
Meskipun kesalahan merupakan kesalahan pertama katanya namun, bagi menjaga kepentingan awam hukuman yang setimpal harus dikenakan.
“Anda menyamar sebagai bomoh untuk merogol mangsa dan ini merupakan satu kesalahan yang serius,” ujar Rajalinggam.
Pendi yang berasal dari Pinrang, didakwa merogol Inani Lacini, 37, di rumah pekerja sebuah kilang papan di Bawang Assan pada 2 Febuari lepas, kira-kira jam 9.30 pagi dan 10.15 pagi.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.
Berdasarkan fakta kes, Pendi menawarkan khidmatnya untuk merawat suami mangsa yang telah batuk sejak dua bulan lepas, ketika bertemu dengan suami mangsa di kediaman mereka.
Tertarik dengan tawaran itu, suami mangsa kemudian bersetuju serta diminta menyediakan barangan untuk menjalankan rawatan seperti telur, duit RM1, beras dan sekotak rokok.
Kira-kira jam 9.30 pagi, suami mangsa keluar dari rumah mereka kerana perlu meneruskan kerjanya sebagai penyelia di kilang papan terbabit, sebelum datang 30 minit kemudian.
Melihat suami mangsa tiba, tertuduh kemudian menyerahkan sebiji telur dan tiga bungkus daun sirih kepadanya untuk diletakkan di kawasan semak.
Apabila suami mangsa kembali 20 minit kemudian, dia ternampak mangsa dalam keadaan berbaring di atas katil di dalam bilik tidur, sebelum tertuduh menjerit melarangnya masuk dengan alasan masih dalam proses membuat ubat.
Selepas 10 minit, tertuduh dan mangsa keluar dari bilik dan menunjukkan sebotol air minuman kepada suami mangsa, serta meminta suami mangsa menyapu badannya dengan air tersebut setiap hari.
Setelah itu, tertuduh meminta mangsa menyediakan minyak masak dan lada putih untuk mengurut badan suaminya.
Selesai mengurut kira-kira 10 minit kemudian, tertuduh kemudian memohon untuk beredar.
Setelah tertuduh beredar, mangsa tiba-tiba menangis dan menceritakan apa yang telah berlaku.
Menurut mangsa, untuk memenuhi syarat bagi mengubati sakit suaminya itu, dia perlu bersetubuh dengan tertuduh.
Mangsa bersetuju untuk bersetubuh dengan tertuduh kerana percaya dengan kata-kata tertuduh bahawa dengan cara sedemikian dapat mengubati penyakit suaminya.
Bagaimanapun, sebaik tertuduh beredar, mangsa mula menangis dan merasa kesal dengan apa yang telah terjadi.
Berikutan laporan yang dibuat mangsa, pihak polis yang diketuai oleh Inspektor Firdaus telah berjaya menahan tertuduh di sebuah kilang papan di Tanjung Manis pada 3 Febuari, kira-kira jam 3.30 petang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan