Kepentingan alat tradisional pada zaman dahulu
BENTUK alat tradisional memproses gula tebu (tandasan) merupakan salah satu alat tradisional yang biasanya digunakan oleh Komuniti Iranun
Peralatan tradisional yang digunapakai oleh masyarakat tempatan negeri Sabah pada suatu ketika dahulu mungkin tidak lagi diperolehi dimana-mana tempat, kerana mungkin sudah tidak lagi disimpan oleh si pemilik atau sebaliknya. Mungkin mereka berbuat demikian disebabkan tidak lagi sesuai digunakan masa kini kerana banyak peralatan yang lebih canggih lagi dan banyak dijual di pasaran.
Walaupun alat kelengkapan tradisional yang sudah terbukti kehebatannya, namun tidak dipelihara atau disimpan sebagai tatapan generasi muda. Menyedari hakikat ini, pihak Jabatan Muzium Sabah mengambil berat mengenai perkara ini daripada hilang begitu saja.
Ini terbukti apabila kita berkunjung ke Kompleks Muzium Sabah terutama di kawasan Kampung Warisan Muzium Sabah. Peralatan tradisional yang direncanakan ini ada dipamerkan di situ. Ini kerana ia bukan sahaja sebagai produk pelancongan malah juga memberi peluang kepada generasi muda yang tidak pernah melihatnya.
Yang dimaksudkan oleh penulis mengenai alat tradisional ini ialah alat memproses minyak kelapa. Sebenarnya alat tradisional memproses minyak kelapa ini dibuat pada tahun 1942 lagi yang dipanggil ya yu kau dalam bahasa Cina Hakka. Alat seumpama ini boleh didapati di kebun-kebun kelapa masyarakat Cina Hakka di Kampung Pinangsoo, Kudat dalam tahun empat puluhan hingga akhir lima puluhan.
Ia diperbuat daripada kayu jenis merbau atau po lo muk dam dialek bahasa Hakka (instiasp). Pemprosesan minyak dibuat dengan cara memasukkan kopra (isi kelapa yang sudah kering) ke dalam ya yu kau dan kemudian diputar dengan bantuan seekor kerbau.
Manakala alat tradisional memproses gula tebu (tandasan) merupakan pemerah tebu tradisional yang digunakan oleh komuniti Iranun. Ia diperbuat daripada bahan tempatan seperti kayu (kalipapa, dangkulang), kelapa (labit kelapa), bambu (betung) dan tebu (balager). Alat ini berfungis dengan bantuan seekor kerbau untuk memutarnya.
Proses memerah ini mengambil masa lebih kurang satu jam untuk menghasilkan 120 liter air tebu (air gelaga) menjadi liat yang dikenali sebagai gula tebu (gula gelaga). Hasil gula tebu itu digunakan untuk membuat kuih-muih tradisional (amik punganan, tatag) dan juga perasa minuman. Biasanya pemprosesan ini dilakukan di dalam sulap sama ada berhampiran dengan kebun tebu ataupun rumah kediaman.
Sementara itu, beberapa kepercayaan kuno masyarakat tempatan di negeri ini juga harus diketahui oleh generasi muda sekarang. Mungkin kepercayaan ini tidak lagi diamalkan adalah disebabkan larangan agama yang dianuti. Namun untuk mengetahui keunikan dan ceritanya perlu diketahui. Sebagai contohnya mengenai ‘bangkawan’ iaitu salah satu koleksi Muzium Sabah yang sedang dipamerkan di sulap bangkawan di Kampung Warisan Muzium Sabah. Bangkawan ialah satu tengkorak manusia yang dahulunya digantung pada kasau rumah seorang Kadazandusun.
Kadang-kala siput dan tulang-tulang binatang juga ditambahkan kepada bangkawan tersebut. Bangkawan merupakan satu peninggalan zaman memotong kepala yang menjadi kepercayaan bagi pemilik bangkawan bahawa dengan menggantungkan bangkawan berkenaan akan membawa tuah kepada keluarganya.
Satu jamuan yang dipanggil magang akan diadakan setiap lima tahun sekali untuk menenangkan roh-roh tengkorak tersebut. Upacara seumpama ini dilakukan oleh bobohizan atau pawang wanita dengan melafazkan mentera untuk menghalau roh-roh yang jahat dan upacara ini berlangsung selama tujuh hari.
Untuk mengetahui lebih terperinci berhubung dengan yang direncanakan ini, anda boleh datang ke Kampung Warisan Muzium Sabah kerana semuanya ada dipamerkan disitu dan untuk mengetahui cerita lanjut, bolehlah berhubung dengan kakitangan Muzium Sabah yang bertugas di Kampung Warisan Muzium Sabah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan