Sabtu, Februari 13, 2010

ALANGKAH BERTUAHNYA WARGA ASING FILIPINA, INDONESIA, PAKISTAN DAN INDIA YANG DIBERI KAD PENGENALAN OLEH ….

DILEMA ANAK NEGERI DI CELAH ENIGMA JPN?

MALANG... Nasib malang Laurius (kiri) sekalipun ibu, bapa dan isterinya  (mykad) memiliki kad pengenalan.

Oleh: MELTON MARTIN

ALANGKAH bertuahnya Warga Asing Filipina, Indonesia, Pakistan dan India yang diberi kad pengenalan oleh Kerajaan Barisan Nasional di era pemerintahan Dr Mahathir berbanding Anak Negeri Sabah yang terpaksa ‘memecah tradisi’ sopan santun terpaksa 'berperang' dengan Pegawai JPN untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri.

Nasib yang menimpa keluarga Jumiah Binti Ami (berbangsa Dusun) kerana suami dan anak-anaknya terpaksa menjadi pelarian di tanah tumpah darah mereka sendiri amat mengharukan, apatah lagi terpaksa berulang alik daripada Telupid ke Tenom untuk menguruskan dokumen pengenalan diri mereka.

Jumiah yang menetap di Kampung Buis, Telupid kesal kerana layanan buruk daripada kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara di Tenom sehingga beliau membuang banyak masa dan wang ringgit untuk kembali ke Tenom.

Menurut Jumiah, suaminya, Lauris Pengiran, berketurunan Lundayeh telah lebih 10 kali berulang alik ke JPN Tenom untuk menguruskan kad pengenalannya, namun sehingga kini masih dalam proses.

Jumiah hairan kenapa suaminya sukar mendapat kad pengenalan sedangkan Ibu bapa suaminya; Ruran Binti Galawat @ Galau dan Pengiran Bin Sulan adalah Anak Negeri Sabah yang mempunyai kad pengenalan.

“Kami sudah ada lima orang anak lelaki. Yang sulung berumur 11 tahun tetapi belum ada sijil lahir. Saya bimbang dia tidak dapat melanjutkan pelajaran kerana gurunya ada minta sijil lahir untuk pendaftaran UPSR, tapi macam mana kalau tidak ada?,” ujar Jumiah yang memberitahu anak sulungnya sedang belajar dalam darjah lima di SRK Buis, Telupid.

WARISI.... Kedua anaknya, Elon dan Jackley turut mewarisi nasib malang Laurius.

Anak kedua beliau yang berusia sembilan tahun juga mewarisi nasib abangnya, tidak mempunyai sijil lahir, namun anak ketiga, keempat dan kelima mendapat Sijil Lahir setelah Jumiah mengakui terpaksa bergaduh dengan pegawai JPN Tenom?

“Saya cukup sedih kerana anak-anak saya hanya memerhati sahaja rakan-rakan mereka menerima bantuan kewangan daripada Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) kerana mereka tidak ada sijil lahir,” ujar Jumiah yang menggesa JPN Tenom agar segera mengeluarkan sijil kelahiran dua orang anaknya.

Jumiah turut kesal kerana JPN masih mengamalkan sistem pentadbiran online sepenuhnya sehingga memaksa beliau dan keluarga berulang alik ke JPN Tenom sedangkan Pekan Telupin juga mempunyai Pejabat Pendaftaran.

“Kalau betul-betul online, saya tidak perlu ke JPN Tenom,” tegas Jumiah yang kesal dengan kemunduran sistem JPN Sabah.

Tegas Jumiah, beliau sudah memikirkan untuk memanggil TV3 menyiarkan masalahnya jika tidak selesai dalam tempoh enam bulan daripada sekarang agar JPN lebih bertanggung jawab dan tidak mengabaikan hak anak negeri Sabah untuk mendapatkan kad pengenalan diri.

“Saya mengambil peluang ini untuk merayu kepada Pengarah JPN Sabah, Haji Jaffaer Henry agar dapat turun padang membantu keluarga saya kerana suami saya sakit dan tidak dapat berulang alik ke Tenom lagi,” ujar Jumiah yang berhasrat untuk menemui Menteri Dalam Negeri jika keadaan mengizinkan.

Telupid.

2 ulasan:

  1. Terima kasih Tuan atas artikel ini. Semoga pihak yang berkenaan dapat mengambil tindakan pembetulan. Terima kasih sekali lagi.

    BalasPadam
  2. Terima kasih kembali kepada tuan kerana mengetengahkan perkara ini. Di harapkan pihak berkenaan ambil tindakan segera untuk mengatasi isu ini..

    BalasPadam