Selesai segera tuntutan bertindih
KOTA KINABALU 25 Dis. - Lebih 3,000 penduduk dari 10 buah kampung di Kota Marudu meminta kerajaan campur tangan bagi menyelesaikan segera masalah tuntutan tanah bertindih antara penduduk kampung tersebut dan syarikat Mega Raya Sdn. Bhd.
Menurut mereka, masalah tersebut semakin kritikal kerana kedua-dua belah pihak enggan bertolak ansur menuntut hak ke atas tanah tersebut dengan masing-masing mendakwa mempunyai geran yang sah.
Kampung yang terlibat ialah Kampung Melangkap Darat, Sunsui, Marak Parak, Talamason, Pongopuin, Sorinsim, Tandahawan, Melangkap Tengah, Mongis, Gana dan Paliu Sumbah dengan keluasan 60 hektar.
Wakil Ketua Anak Negeri Kota Marudu, Kuntingan Singgaran berkata, masalah timbul apabila syarikat itu mula mengukur tanah di 10 buah kampung tersebut baru-baru ini.
Beliau mendakwa, kawasan tanah yang diukur itu adalah milik penduduk kampung kerana telah diusahakan dengan pelbagai tanaman.
"Untuk itu bagi menyelesaikan masalah itu, kami merayu wakil rakyat, pegawai daerah dan pihak Jabatan Tanah dan Ukur Kota Kinabalu supaya mengambil langkah segera.
"Sekiranya langkah segera tidak diambil, kami bimbang perkara ini akan menjadi lebih buruk dan penduduk akan merasa teraniaya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, seorang penduduk Kampung Melangkap Darat, Tonny Undara, 43, berkata, mereka sudah mendiami kampung tersebut sejak turun temurun lagi.
Tegasnya, sebilangan penduduk kampung turut memiliki geran yang sah dan bukannya menceroboh kawasan itu sewenang-wenangnya.
"Kampung kami adalah tanah tumpah darah kami yang diwarisi daripada nenek moyang, ia bukan sahaja menjadi tempat kediaman malah punca rezeki kepada sebahagian besar penduduk yang bergantung kepada aktiviti pertanian.
"Jadi kami meminta sebarang kerja mengukur tanah dihentikan segera bagi mencari penyelesaian terbaik," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan