Isnin, Disember 21, 2009

KEMUNGKINAN LETUSAN BESAR AKAN BERLAKU DALAM MASA DUA MINGGU

Aktiviti gunung berapi Mayon meningkat

SEGELINTIR penduduk masih berdegil dan enggan dipindahkan walaupun gunung berapi Mayon semakin aktif dan dijangka memuntahkan lahar besar-besar pada bila-bila masa. – AFP

LEGAZPI 20 Dis. – Aktiviti gunung berapi semakin meningkat di dalam Gunung Mayon di Filipina dan letusan besar dijangka berlaku dalam masa dua minggu.

Seorang pakar gunung berapi kerajaan memberi amaran tersebut hari ini, sementara pegawai pertahanan awam cuba memujuk sekumpulan penduduk yang masih berdegil supaya meninggalkan rumah-rumah mereka yang terletak di sekitar gunung itu.

“Sehingga kini aktiviti terus meningkat dan sekiranya gunung berapi itu menjadi semakin aktif, kemungkinan letusan besar akan berlaku dalam masa dua minggu,” kata July Sabit, anggota pasukan kerajaan yang memantau gunung tersebut.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya 222 gegaran gunung berapi dikesan dari pagi semalam sehingga ke pagi ini, berbanding 197 gegaran dalam tempoh 24 jam sebelum ini.

Beliau menjangka letusan berlaku sekitar 1 Januari ini, dengan menghamburkan kepulan abu setinggi kira-kira 10 kilometer ke udara.

Walaupun abu itu dipercayai tidak akan membahayakan penduduk secara langsung, namun ada risiko ia akan bertukar menjadi aliran lumpur yang berbahaya, seperti apa yang berlaku semasa letusan pada 2006 apabila ratusan penduduk dihanyutkan.

Tidak ada penduduk yang terbunuh dalam letusan itu tetapi bertan-tan debu yang terkumpul di lereng Gunung Mayon dihanyutkan dalam taufan tiga bulan kemudian, menyebabkan lebih 1,000 penduduk terbunuh apabila kampung-kampung musnah dalam banjir lumpur bercampur batu.

Ketua pasukan pertahanan awam tempatan, Raffy Alejandro berkata, tentera dan polis sudah pun memindahkan lebih 8,000 daripada 9,000 keluarga yang tinggal dalam lingkungan zon berbahaya lapan kilometer di sekitar Gunung Mayon.

“Mereka yang masih tinggal berada di pinggir zon lapan kilometer itu dan kami masih cuba memujuk mereka supaya berpindah,” katanya.

“Kami cuba menggunakan pendekatan memujuk tetapi jika keadaan bertambah buruk, Gabenor telah memberi arahan supaya mereka dipaksa berpindah,” ujar beliau.

Gunung Mayon yang terkenal kerana konnya yang hampir simetri telah meletus 48 kali dalam sejarah. Pada 1814, lebih 1,200 penduduk maut apabila pekan Cagsawa ditenggelami lahar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan