Rabu, Disember 16, 2009

20,000 DIPINDAH GUNUNG BERAPI MAYON DI FILIPINA MELETUS

MANILA: Gunung berapi paling aktif di Filipina, Mayon memuntahkan lahar dan letupan abu arang sehingga memaksa ribuan penduduk berhampiran meninggalkan kediaman masing-masing, hari ini.

Agensi Amaran Gunung Berapi Kebangsaan meningkatkan tahap amaran bahaya gunung berapi setinggi 2,460 meter itu kepada dua tahap lagi, lewat kelmarin.

Lahar oren pekat dilihat membuak keluar dari lohong gunung sehingga malam tadi.

Ketua Institut Seismologi dan Gunung Berapi Filipina, Renato Solidum, berkata aktiviti gunung berapi itu dijangka lebih buruk dalam masa beberapa hari lagi.

"Ia sudah mulai mengeluarkan laharnya," katanya hari ini.

Gabenor Wilayah Albay, Joey Salceda, berkata sehingga ini, lebih 20,000 penduduk sudah dipindahkan ke kawasan lebih selamat dan operasi berjalan sepanjang malam tadi.

Gunung Berapi Mayon terletak 340 kilometer (km) di barat daya Manila.

Sebanyak 20 kenderaan, termasuk trak tentera dihantar ke perkampungan di sekitar gunung berkenaan untuk mengeluarkan penduduk.

"Tinggal 10 hari lagi sambutan Krismas dan kemungkinan besar mereka menyambutnya di khemah dan pusat perpindahan sementara," katanya.

Kira-kira 50,000 penduduk tinggal pada lingkungan lapan kilometer dari kaki pergunungan berkenaan.

Sebahagian penduduk sudah mula dipindahkan sejak bulan lalu apabila gunung berapi itu mula mengeluarkan asap karbon.

Kali terakhir Mayon meletuskan lahar pada 2006 dengan lebih 30,000 penduduk terpaksa dipindahkan.

Ketika meletus pada 1993, 79 orang terbunuh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan