Sabtu, Oktober 24, 2009

BAJET 2010 TERAS MASYARAKAT CELIK IT - MDEC

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Langkah kerajaan menawarkan pakej netbook termasuk perkhidmatan broadband percuma kepada pelajar universiti dengan bayaran RM50 sebulan selama dua tahun bermula tahun depan akan meramaikan lagi graduan yang mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) Datuk Badlisham Ghazali berkata komitmen kerajaan dalam Bajet 2010 itu akan membolehkan bidang IT dikuasai pelajar yang mengikuti pengajian dalam bidang lain.

image "Semua pelajar perlu memiliki komputer dan berjinak-jinak dengan lebih awal, sekarang hanya pelajar jurusan IT yang pakar mengenai komputer dengan menggunakan aplikasi internet sepenuhnya, pelajar jurusan lain seperti perbankan, kejuruteraan dan yang lain kurang mahir.

"Dalam mengharungi era baru sepatutnya pengasingan itu tidak harus berlaku," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Jelasnya penggunaan komputer bukan hanya terhad dari segi teknikal, malah melalui komputer orang ramai khususnya pelajar dapat menerokai bidang keilmuan dengan lebih meluas.

Selain itu komitmen kerajaan dengan memberikan pelepasan cukai individu ke atas yuran langganan jalur lebar sehingga RM500 setahun mulai 2010 sehingga 2012 adalah usaha bijak kerajaan dalam mencapai sasaran masyarakat celik IT.

"Kerajaan telah dan sedang meningkatkan penembusan jalur lebar di seluruh negara, namun usaha itu tidak berguna jika rakyat tidak menggunakannya, kalau ada broadband tapi tak ada orang guna buat apa?...kalau tak ada komputer macam mana nak akses internet," kata Badlisham.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Komputer Malaysia (Pikom) Wei Chuan Beng berkata langkah kerajaan membantu meringankan beban rakyat untuk memiliki komputer dan internet adalah tepat pada masanya ketika negara kini mahu memacu ekonomi berasaskan inovasi.

ICT Learning Innovation Centre by Big Sumo."Kita kini dalam satu era ekonomi baru berteraskan inovasi, sekarang adalah peringkat kritikal dan saya lihat kerajaan sudah mula menuju ke arah itu. ICT adalah alat yang paling penting dalam industri inovasi ini, jika lebih ramai pihak yang terlibat lebih cepat kita capai sasaran itu," katanya.

Mengulas mengenai usaha kerajaan mempercepatkan perlaksanaan High Speed Broadband (HSBB) dengan jumlah kos RM11.3 bilion ringgit, beliau berkata dengan peningkatan perkhidmatan itu memberikan pilihan baru kepada pengguna perkhidmatan internet sedia ada.

"HSBB adalah perkhidmatan yang akan beri pengalaman baru kepada kita, ia menjamin penghantaran kandungan atau dokumen yang memerlukan kelajuan tinggi boleh sampai dengan cepat...dalam urusan perniagaan ia amat penting," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan