HONG KONG, 26 Ogos (Bernama) –- Walaupun sudah lama menetap di Hong Kong, namun jutawan kelahiran Malaysia, Tan Sri Robert Kuok masih prihatin dengan sebarang perkembangan yang berlaku di Malaysia.
Kuok, 85, yang dikenali sebagai Raja Gula menunjukkan rasa prihatinnya semasa majlis perjumpaan dengan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Ng Yen Yen yang sedang melakukan lawatan kerja di sini.
Sebelum majlis makan tengah hari hari ini, Dr Ng meminta Kuok memainkan video promosi bertajuk “Malaysia, Truly Asia” di hotel Shangri-La milik Kuok, yang dipersetuji oleh jutawan tersebut.
Kuok berkata sebagai rakyat Malaysia, beliau merasa diberi penghormatan untuk memberi bantuan kepada Kementerian Pelancongan Malaysia untuk mempromosi pelancongan Malaysia.
Dr Ng pula menyampaikan penghargaan di atas kebaikan Kuok itu.
Kuok berkata soal keselamatan adalah perkara penting yang diberi perhatian oleh pelancong terutama pelancong China dan Jepun semasa mereka berada di negara luar di mana mereka bimbang diragut atau dirompak.
"Oleh itu keselamatan awam perlu diutamakan dalam usaha menarik pelancong," katanya.
Dr Ng pula berkata Malaysia mengutamakan aspek pencegahan jenayah menerusi enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan