Jumaat, Jun 19, 2009

PENYAKIT MENTAL DI KALANGAN RAKYAT MALAYSIA SEMAKIN MENINGKAT

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Penyakit mental di negara ini mencatatkan peningkatan, dengan lebih banyak individu mendapatkan rawatan bagi masalah itu yang meliputi gangguan mental ringan kepada skizofrenia teruk.

image Menurut statistik Kementerian Kesihatan, sebanyak 379,010 individu mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar psikiatri di hospital-hospital kerajaan, berbanding 324,344 pada 2007.

image Jumlah pesakit psikiatri yang dirawat di hospital pada tahun lepas ialah sebanyak 21,852 kes berbanding 21,217 kes pada tahun sebelumnya, kata Pengarah Pembangunan Perubatan kementerian itu, Datuk Dr Azmi Shapie.

image Beliau berkata Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan ke-3 pada 2006, menunjukkan semakin ramai remaja yang menderita masalah kesihatan mental.

Kaji selidik itu menunjukkan 19.5 peratus kumpulan umur lebih tua (70 hingga 74 tahun) dan 14.4 peratus golongan termuda (antara 16 dan 19 tahun) juga lebih berisiko menghidap masalah kesihatan mental, daripada kumpulan umur lainnya," katanya pada Persidangan Perubatan Psikologi Malaysia ke-14 di sini Jumaat.

Dr Azmi membacakan teks ucapan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Katanya penyakit mental juga lebih banyak berlaku di kalangan wanita pada kadar 12.1 peratus berbanding lelaki (10.4 peratus).

Beliau berkata penyakit mental juga menjadi punca kepada perbuatan bunuh diri, yang jumlahnya juga semakin meningkat, di mana kadar mortaliti ialah 16 bagi setiap 100,000 atau satu kematian dalam setiap 40 saat.

image "Di Malaysia, kadar bunuh diri telah meningkat kepada antara sembilan dan 12 orang bagi setiap 100,000 populasi, berbanding lapan orang pada 1980-an.

"Kadar itu didapati adalah yang tertinggi di kalangan kaum India," kata Dr Azmi.

Sementara itu, Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) berkata diskriminasi dan penafian di kalangan orang ramai terhadap penyakit mental merupakan satu daripada halangan utama kepada pesakit untuk mendapatkan rawatan penyembuhan.

"Orang ramai tidak melihat masalah kesihatan mental sebagai sesuatu yang serius sepertimana apabila mereka bercakap mengenai penyakit lain...oleh yang demikian, mereka tidak mendapatkan rawatan lebih awal.

image "Malahan apabila sesetengahnya berbuat demikian (mendapatkan rawatan lebih awal), mereka memilih mendapatkan rawatan tradisional atau mendapatkan bantuan daripada bomoh, daripada mendapatkan bantuan profesional," kata Naib Presidennya Dr Abdul Kadir Abu Bakar kepada pemberita.

Beliau menegaskan sokongan dan penerimaan keluarga dan masyarakat amat penting dalam membantu pesakit untuk sembuh.

Pada majlis itu, Garis Panduan Klinikal (CPG) bagi pengurusan skizofrenia di kalangan orang dewasa turut dilancarkan.

Garis panduan itu berobjektif membantu profesional kesihatan, pesakit dan keluarga mereka dalam membuat keputusan mengenai penjagaan kesihatan yang sesuai bagi keadaan spesifik, berkaitan penyakit itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan