Sabtu, Mei 16, 2009

SARAWAK MUNGKIN SALUR TENAGA ELEKTRIK KE SABAH

map_labuanKOTA KINABALU, 15 Mei (Bernama) -- Dengan pelaksanaan beberapa projek hidroelektrik di Sarawak, misalnya Empangan Bakun, ada kemungkinan sebahagian daripada tenaga itu disalurkan ke Sabah di masa depan.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Peter Chin Fah Kui, ketika mendedahkan kemungkinan itu semasa melakukan lawatan kerja ke negeri ini, berkata ia boleh menjadi sebahagian daripada pelan jangka panjang untuk penjanaan tenaga di Sabah.

image"Bagi jangka pendek dan sederhana, kami akan berupaya memenuhi (permintaan elektrik) di Sabah sehingga 2018, dan sudah tentu anda mungkin bertanya apa yang akan berlaku dalam masa 20 hingga 30 tahun akan datang.

"Kami tidak dapat memberi sebarang jawapan yang tepat, tetapi saya boleh katakan bahawa dengan projek seperti Empangan Bakun dan banyak lagi projek hidro lain yang muncul di Sarawak, ada kemungkinan untuk menyalurkan tenaga elektrik ke Sabah dari Sarawak," katanya.

"Kabinet telah pun memutuskan untuk penyaluran tenaga dari Empangan Bakun ke Semenanjung menerusi kabel bawah laut, jika kami dapat melakukannya, saya amat berkeyakinan bahawa kami boleh membekalkan tenaga ke Sabah, ini adalah melewati 2020," katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman di sini Jumaat.

Terdahulu, beliau menghadiri taklimat dengan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan penjana tenaga bebas (IPP) yang terbabit dalam penjanaan tenaga di Sabah.

Chin turut mengumumkan geran segera daripada kerajaan Persekutuan berjumlah RM26 juta kepada Sabah untuk pembelian set janakuasa mudah alih.

"Saya telah berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai keadaan di Sabah pada Rabu lepas. Beliau amat prihatin dengan keadaan yang berlaku dan segera meluluskan geran RM26 juta untuk pembelian set mudah alih bagi kegunaan di Sabah sebagai bantuan segera," katanya, sambil menambah jumlah itu akan dapat membekalkan 20 Megawatt tenaga elektrik.

Beliau berkata SESB memaklumkan kepada beliau bahawa mereka telah pun menempatkan 20 set mudah alih (masing-masing 1 Megawatt) di tempat strategik di mana berlaku kekurangan bekalan.

Katanya antara projek jangka pendek bagi penjanaan tenaga adalah pembinaan stesen janakuasa 190 Megawatt oleh Ranhil Powertron yang dijangka beroperasi hujung tahun ini dan 300 Megawatt loji berkuasa gas Kimanis yang dijangka siap seawal 2010.

Kesemua projek ini dijangka menyediakan elektrik ke pantai timur Sabah, di mana kekurangan tenaga paling meruncing, katanya.

Projek jangka sederhana adalah projek hidro Upper Padas (150 Megawatt) yang akan beroperasi menjelang 2017 dan projek hidro Liwagu (150 Megawatt) yang dijangka beroperasi menjelang 2018.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan