Menara haram diroboh
Oleh Nor Adilah BukhorieRUNTUH...jentolak DBKL merobohkan menara.
KUALA LUMPUR: Sebuah menara perhubungan yang dibina secara haram oleh syarikat telekomunikasi terkemuka dan beroperasi sejak dua bulan lalu akhirnya dirobohkan syarikat itu sendiri, semalam.
Menara setinggi 30 meter itu didirikan atas tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Seksyen 2 Wangsa Maju di sini, bersebelahan Pusat Penjaja Wangsa Maju Seksyen 2.
Menara telekomunikasi terbabit dikesan penduduk setempat dibina tanpa permit berikutan tiada sebarang papan tanda diletak ketika kerja pembinaannya.
Berikutan aduan penduduk, pada 15 April lalu, DBKL menampal notis pada menara berkenaan dan meminta pemiliknya merobohkannya segera berikutan tidak mendapat kelulusan daripada Jabatan Perancang Bandar DBKL.
Penduduk, Lim Cheng Hock, 50, mendakwa bunyi bising daripada menara itu dipercayai bunyi jentera mengganggu ketenteraman penduduk sekitar.
“Bunyi bising itu mula didengari selepas dua minggu menara berkenaan siap dibina dan kami (penduduk) mendapati menara itu dibina secara haram,” katanya.
Dipercayai, pencawang menara itu dibuang pihak syarikat telekomunikasi itu sendiri kira-kira jam 6 petang kelmarin dan berakhir jam 5 pagi semalam.
Harian Metro mendapati pencawang menara yang diroboh diletakkan di tempat letak kereta penduduk, manakala tapaknya terpaksa dirobohkan sepenuhnya DBKL.
Keadaan itu jelas menunjukkan kerja meroboh dibuat syarikat telekomunikasi berkenaan tidak dilakukan secara sistematik dan tergesa-gesa sekali gus menghalang penduduk meletakkan kereta di situ.
Sementara itu, Setiausaha MCA Bahagian Wangsa Maju, Lim Choon Hong, berkata penduduk membuat aduan kepada Perbadanan Penguasa Seksyen 2 dan beberapa pemimpin MCA turun padang serta meninjau kawasan terbabit.
“Saya berasa gembira kerana kepentingan penduduk terjaga dan tindakan segera diambil menunjukkan kebajikan penduduk tidak diabaikan dan berharap syarikat terbabit segera memindahkan pencawang yang diletakkan di tempat letak kereta awam,” katanya yang meninjau kawasan menara haram.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan