JOHOR BAHRU 30 April - Dalam usaha pihak polis membanteras jenayah, mereka juga tidak terkecuali daripada turut menjadi mangsa.
Itulah yang berlaku kepada Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob apabila rumahnya dipecah masuk tiga lelaki dipercayai warga Indonesia di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 pagi, Zainuddin turut menjadi mangsa apabila beliau diikat oleh penjenayah yang kemudian melarikan wang tunai RM700 dan barangan kemas dari rumahnya.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah negeri, Datuk Amer Awal berkata, penjenayah memecah masuk rumah mangsa dengan mengumpil pintu belakang menggunakan pemotong besi dan pemutar skru.
"Ketika kejadian, mangsa seorang diri di dalam rumah dan diikat dengan menggunakan wayar namun tidak dicederakan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Amer berkata, Zainuddin bagaimanapun berjaya melepaskan ikatan selepas itu dan bertindak menghubungi polis.
Tambahnya, pasukan kereta peronda bergegas ke tempat kejadian dan tiga suspek yang merupakan lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 20-an berjaya ditahan petang ini di sekitar bandar raya ini.
Difahamkan, rumah mangsa terletak di Taman Damansara Aliff di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan