16th April, 2009
KOTA KINABALU: Persatuan Pengguna Sabah (Cash) meminta Celcom (M) Sdn Bhd cawangan Sabah supaya segera membuat siasatan dalaman berhubung isu pembocoran maklumat termasuk rekod panggilan dan pesanan ringkas (SMS) pemilik telefon bimbit yang berdaftar.
Presiden Cash Datuk Patrick Sindu berkata rekod panggilan telefon bimbit tidak boleh diberitahu atau dibocorkan kepada mana-mana pihak kecuali dengan cara yang dibenarkan oleh undang-undang.
“Pihak Cash sering menerima aduan pemilik telefon bimbit (Celcom) yang mana hampir setiap orang yang dipanggil akan menerima panggilan dari orang tidak dikenali yang bertanyakan tujuan atau perkara yang dibincangkan, sehari atau beberapa selepas menerima panggilan asal.
“Cash memandang serius perkara ini kerana ia merupakan satu gangguan hak peribadi yang berterusan. Ada kemungkinan perbuatan ini kerja “orang dalam” atau staf yang tidak bertanggungjawab untuk tujuan tertentu.
“Sebenarnya perbuatan membocorkan rahsia atau rekod panggilan telefon bimbit terjumlah sebagai satu pencerobohan hak privasi seseorang individu,” katanya kepada Bernama di sini kelmarin.
Oleh itu, Patrick berharap Pengurus Celcom Sabah dapat melakukan sesuatu untuk memberhentikan amalan membocorkan rekod panggilan dan SMS demi menjaga kredibiliti Celcom sebagai antara syarikat telekomunikasi terbesar di negara ini.
Beliau berkata tindakan yang tegas perlu dikenakan terhadap mana-mana kakitangan Celcom yang tidak bertanggungjawab termasuk membocorkan rekod panggilan.
Sementara itu, Patrick juga merayu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia supaya campur tangan sekiranya isu pembocoran maklumat rekod panggilan telefon bimbit itu terus berlaku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan