Ahad, Mac 11, 2012

PENAGIHAN SYABU BERISIKO MATI MENGEJUT

Risiko mati mengejut

KUALA LUMPUR: Salah anggapan kononnya syabu tidak meninggalkan kesan penagihan menyebabkan dadah sintetik itu terus mendapat perhatian, terutama di kalangan remaja.

Pakar Perunding Psikiatri dan Penagihan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr Mohamad Hussain Habil berkata, sifat syabu merangsang pengguna tanpa perlu pengambilan secara berterusan, menyebabkan ramai anak muda gemar menggunakannya.

“Dadah ini kerap diambil ketika parti dadah bagi tujuan bersuka-ria serta popular di kalangan pelumba haram kerana ia memberi rangsangan berbanding dadah ‘opiat’ seperti heroin yang cenderung mengkhayalkan penggunanya.

“Selain tidak menyebabkan mereka ketagih, syabu atau dikenali ‘ice’ boleh memberi tenaga dan keghairahan lebih daripada biasa sehingga mampu bertahan tidak tidur sepanjang hari selepas mengambilnya.

“Kalau dilihat kesan dadah lain seperti heroin, pengguna mengalami ketagihan dan memungkinkan ancaman risiko Aids mahupun HIV, menyebabkan penagih mula beralih kepada dadah jenis ini,” katanya kepada Metro Ahad.

Bagaimanapun, katanya, tanggapan itu salah kerana pengambilan syabu sebenarnya lebih buruk kesannya terhadap kesihatan, terutama merosakkan otak.

Katanya, pengambil juga berdepan risiko penyakit mental seperti kewujudan simptom psikotik seperti halusinasi atau delusi yang mendorong golongan terbabit melakukan perkara berbahaya bukan saja terhadap dirinya, malah individu sekitarnya.

“Pengambilan dadah itu bergantung kepada individu. Tidak mustahil pertama kali mengambilnya sudah memadai mencetuskan pendarahan di otak serta memungkinkan risiko kematian mengejut akibat serangan jantung.

“Selain itu, penagih berada dalam keadaan separa sedar dan mempunyai keberanian luar biasa kerana tidak gentar dengan ancaman maut lalu cenderung melakukan aktiviti berisiko tinggi, terutama kegiatan jenayah lumba haram, rogol, rompakan sehingga ada yang sanggup membunuh,” katanya.

Berikutan itu, beliau menyarankan ahli keluarga, terutama ibu bapa, supaya lebih peka dengan perubahan sikap anak mereka yang agresif dan ganas.

“Ibu bapa boleh nampak kesan pengambilan dadah ini menerusi perubahan perilaku anak yang lebih agresif daripada biasa iaitu mudah mengamuk, memukul adik beradik lain, gemar merosakkan barang dan tidak tidur semalaman.

“Andainya ada tanda sebegini pada anak, segera rujuk dengan pihak berkenaan seperti Klinik Cure and Care disediakan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) supaya langkah rawatan awal dapat menyelamatkan nyawa bukan saja anak, tetapi ahli keluarga lain,” katanya.

Beliau berkata, penagihan dadah ini lebih mudah dirawat berbanding dadah jenis ‘opiat’ jika ibu bapa merujuk awal kes membabitkan anak mereka.

“Tindakan awal ibu bapa dapat menyelamatkan anak mereka kerana ada ubat tertentu yang dapat mencegah tindak balas dadah itu.

“Anak juga perlu mendapat sesi kaunseling mahupun psikoterapi bagi mengelak dia mengulangi tabiat lama,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan