Rabu, Oktober 05, 2011

81,000 DOKUMEN IMM13 DIKELUARKAN KEPADA PATI DI SABAH DAN LABUAN - NAZRI

Dewan Rakyat: 81,000 Dokumen IMM13 Dikeluarkan Kepada Pati Di Sabah Dan Labuan

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia telah mengeluarkan sebanyak 81,000 dokumen IMM13 sehingga 2009 kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi membolehkan mereka bergerak bebas tanpa menggunakan pas perjalanan di Sabah dan Labuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata dokumen itu hanya diberikan kepada dua kumpulan di Sabah iaitu pelarian Cina-Indonesia dan pelarian perang selatan Filipina.

"Pemberian dokumen kepada kedua-dua kumpulan pelarian ini adalah dibuat atas dasar perikemanusiaan dan untuk itu mereka telah diberi pengecualian pasport oleh kerajaan untuk tinggal sementara di Sabah dan Labuan," katanya ketika menjawab soalan Datuk Marcus Mojigoh (BN-Putatan) yang ingin tahu mengenai jumlah warga asing yang telah diberikan dokumen IMM13.

Nazri berkata terdapat enam skim penempatan pelarian perang selatan Filipina yang dibangunkan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNHCR) dan diwartakan oleh kerajaan negeri Sabah.

"Mereka ialah di Kg Hidayat di Tawau, Kg Selamat di Semporna, Kg Bahagia di Sandakan, Kg Kinarut di Kota Kinabalu, Kg Telipot di Kota Kinabalu dan Kg Muslim di Labuan," katanya.

Namun begitu, beliau berkata disebabkan UNHCR tidak mampu menampung kos penempatan sejak 1970-an, kebanyakan mereka terpaksa tinggal di luar kawasan penempatan dan mendirikan rumah di kawasan setinggan.

"Manakala pelarian Cina-Indonesia yang rata-rata tinggal di kawasan bandar berjaya diasimilasikan dengan masyarakat Cina tempatan seperti di bandar Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau," katanya.

Menjawab pula soalan Datuk Chua Soon Bui (Bebas-Tawau) sama ada pemegang dokumen IMM13 diberi status kewarganegaraan, Nazri berkata mereka tidak diberikan status itu.

-----

94,483 pelarian di Malaysia sehingga Ogos 2011

seramai 10,850 orang merupakan pemohon suaka manakala selebihnya adalah 'pelarian'.

"Kerajaan tidak memperuntukkan sejumlah bajet bagi menguruskan 'pelarian' ini memandangkan tiada sebarang kem atau depot disediakan untuk mereka.

"Bagaimanapun, 'pelarian' ini telah diberi diskaun 50 peratus caj rawatan di hospital dan klinik kerajaan,"

Malaysia merupakan negara yang tidak menandatangani Konvensyen UNHCR 1951 mengenai status pelarian dan Protokol mengenai status pelarian 1967.

Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menjawab soalan Datuk Aaron Ago Anak Dagang (BN-Kanowit)

14 ulasan:

  1. Jika pelarian cuma tinggal sementara di Sabah dan Labuan, bila mereka akan pulang?

    BalasPadam
  2. Adakah dukumen IMM13 ini ada tarikh luput?

    BalasPadam
  3. Penggunaan dokumen IMM13 adalah untuk tempoh setahun sahaja dan ia hendaklah diperbaharui setiap tahun.

    BalasPadam
  4. terdapat sumber yang mengatakan bahawa kerajaan Sabah tidak mengeluarkan dokumen IMM13 sejak 1984.

    BalasPadam
  5. Jadi, apa macam dengan PATI yang jumlahnya lebih besar daripada 81,000 itu? Apa macam mahu urus?

    BalasPadam
  6. dah begitu lama pelarian ni tinggal di Sabah, beranak pinak sudah. sampai bila mereka di sini?

    BalasPadam
  7. bilangan mereka ni makin ramai. pasti memberi saingan kepada penduduk tempatan.

    BalasPadam
  8. Betulkah tiada di antara mereka yang tidak diberikan status kewarganegaraan?

    BalasPadam
  9. mereka hanya tinggal sementara..harap bila keadaan di negara mereka sudah pulih mereka akan dihantar pulang..

    BalasPadam
  10. jumlah mereka ni ramai, jadi pemantauan perlu sentiasa dilakukan agar tidak menjejaskan peluang warga tempatan pula.

    BalasPadam
  11. tidak wujud istilah pelarian tetap kerana keadaan di Selatan Filipina kini sudah kembali seperti sediakala.. kenapa mereka masih berada di Sabah?

    BalasPadam
  12. isu berkaitan dengan pelarian Filipina memang sukar untuk diatasi. tapi pernahkan kerajaan pusat cuba untuk mengatasi masalah ini melalui hubungan atau rundingan secara terus antara kerajaan Malaysia dan Filpina? semakin lama mereka di negeri ini, semakin mereka rasa selesa dan tidak mustahil status mereka (pelarian) juga akan terhapus.

    BalasPadam
  13. Baguslah..Kita harap selepas ini mereka boleh balik ke Negara mereka semula.

    BalasPadam
  14. ya, bagus kita harap ini mereka balik di negara asal tetpi ayah saya orang asing jua ,saya orang tempatan , manalah boleh balik ke negara asal.Jikalau ayah/ibu anda jua ialah orang asing ? Anda nak jua ayah/ibu mu balik ke negara asal?
    mungkin anda akan sedih atau sebagainya ?
    * Ini persoalan saya *

    BalasPadam