Warga asing kacau wanita dalam rumah
KUALA LUMPUR: Tidak peduli dengan keselamatan penduduk sekitar, sikap warga asing yang menetap di Flat Danau Kota di sini, keterlaluan apabila ada segelintir mereka mengganggu wanita yang menetap di situ.
Tidak kira isteri, tunang atau anak dara orang, masing-masing ligat mengganggu sehingga penduduk merasa tidak selamat walaupun di dalam rumah.
Lebih teruk, pakaian wanita yang dijemur di beranda rumah juga kerap hilang dipercayai dicuri mereka.
Tinjauan mendapati kebanjiran warga asing di kawasan berkenaan menimbulkan rasa kurang selesa di kalangan penduduk kerana masing-masing terlalu bebas sehingga berani melakukan apa saja tanpa menghiraukan keselamatan orang lain.
Penduduk, Rasdan Roslan, 17, berkata setiap hari dia perlu berdepan sikap biadab warga asing yang pelbagai kerenah termasuk ketika hendak menaiki lif masing-masing berebut tanpa mempedulikan orang lain.
“Mereka terlalu bebas di sini sehingga berani melawan dan mencari masalah dengan penduduk tempatan seolah-olah masing-masing ‘diberi perlindungan’.
“Bukan sekali, malah kerap kali. Saya pernah melihat seorang daripada mereka cuba hendak mencabul penduduk wanita di sini yang ketika itu melalui jalan gelap di belakang flat. Saya menjerit minta pertolongan dan warga asing terbabit bebas terlepas begitu saja,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan