Jumaat, Julai 01, 2011

KABINET TIDAK BENAR ASTRO NAIK TARIF PERKHIDMATAN

Kabinet Tidak Benar Astro Naik Tarif Perkhidmatan - Rais

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Kabinet pada Jumaat memutuskan stesen televisyen berbayar Astro tidak boleh menaikkan tarif perkhidmatan mereka selagi tidak mendapat kebenaran daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), agensi di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata Kabinet, yang membincangkan isu itu pada mesyuaratnya, berpendapat Astro tidak wajar menaikkan sebarang tarif berkaitan perkhidmatan mereka.

"Saya telah bersetuju untuk SKMM tidak membenarkan kenaikan sebarang tarif kecuali ia diluluskan mengikut kadar yang berpatutan dan mengikut lunas undang-undang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-kabinet di Angkasapuri.

Beliau berkata setakat ini, Astro didapati melanggar undang-undang sedia ada berdasarkan notis awal kenaikan yang diedar kepada pelanggannya.

"Notis yang dikeluarkan oleh Astro itu nampaknya mencanggahi undang-undang yang ada di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Oleh itu, saya telah mengarahkan SKMM untuk mengambil tindakan sewajarnya memberitahu Astro untuk tidak meneruskan kenaikan sehingga suatu masa yang lebih sesuai untuk dilaksanakan demikian," katanya.

Menjelaskan maksud 'tindakan sewajarnya', Rais berkata ia terpulang kepada SKMM untuk menentukan jenis tindakan, sama ada menjurus kepada kompaun atau denda dengan jumlah yang dibenarkan mengikut akta berkenaan.

Astro baru-baru ini mengumumkan akan melakukan pelarasan terhadap pakej yang ditawarkan berkuat kuasa 11 Julai ini, dengan harga langganan bergantung kepada pakej pilihan pelanggan.

Langkah itu menyebabkan sesetengah pelanggan mungkin mengalami kenaikan sekitar RM1 hingga RM15 sebulan, manakala yang lain menikmati penjimatan RM4 hingga RM14.95 sebulan.

13 ulasan:

  1. Astro perlulah meningkatkan lagi mutu penyiaran sebelum meminta rakyat membayar lebih.

    BalasPadam
  2. Harap SKMM akan memastikan bahawa Astro menepati peraturan ini.

    BalasPadam
  3. Tahniah kepada barisan kabinet kerana membuat keputusan yg betul! Astro tak boleh naikkan harga sesuka hati tanpa menaikkan mutu perkhidmatan mereka...bayar lebih2 tapi mutu perkhidmatan tetap sama buat apa?

    BalasPadam
  4. Baguslah astro tidak dinaikkan tarif.

    BalasPadam
  5. Ngamlah tu. Jangan dikasi naik. Semua pun nak naik, susahlah kalau begini.

    BalasPadam
  6. Terima kasih kerana SKMM tidak membenarkan kenaikan tarif perkhidmatan Astro. Pengguna sangat hargai kerana sejak akhir-akhir ini pun sudah banyak kenaikan barang telah dibuat.

    BalasPadam
  7. Mutu penyiaran kena selaras dengan hargalah. Asyik2 ulang benda yang sama saja. Kalau best, tidak apa juga.

    BalasPadam
  8. bgslah, Astra tk perlu nak naikkan tarif, kualiti Astro pun bukan baik sgt pun. asal hujan siaran terganggu.

    BalasPadam
  9. semua pengguna memang berharap agar astro tidak menaikkan tarif mereka.

    BalasPadam
  10. Bila sudah naik taraf barulah berfikir untuk meningkatkan kos pembayaran.

    BalasPadam
  11. Baguslah kalau itu keputusan dari kabinet. Sudah untung mahu untung lagi.

    BalasPadam
  12. Astro tidak patut menaikkan kadar bayaran.

    BalasPadam
  13. kalau pun pihak Astro menaikkan tarif perkhidmatan mereka, mereka tetap akan menurunkannya semula kerana saya yakin ramai pelanggan mereka akan menghentikan langganan mereka serta merta..

    BalasPadam