Selasa, Mei 31, 2011

NAFI AKAN HANTAR 80,000 GURU DARI SEMENANJUNG KE SARAWAK - KPM

Kementerian Pelajaran Nafi Akan Hantar 80,000 Guru Dari Semenanjung Ke Sarawak

PETALING JAYA, 30 Mei (Bernama) -- Kementerian Pelajaran Isnin menafikan laporan kononnya ia akan menghantar sekitar 80,000 guru dari Semenanjung ke Sarawak tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata sehingga 11 Mei tahun ini, terdapat seramai 80,382 guru yang mengajar di sekolah rendah dan sekolah menengah di Sabah dan Sarawak di mana 15,641 daripada jumlah itu terdiri daripada guru yang berasal dari Semenanjung.

"Sekiranya kita hendak menghantar 80,000 orang guru dari Semenanjung ke Sarawak, siapa pula yang akan mengajar di Semenanjung?" katanya ketika ditemui selepas melancarkan pertandingan mural PLUS antara sekolah-sekolah menengah peringkat kebangsaan 2011 di sini hari ini.

Dr Mohd Puad berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas kekhuatiran Parti Rakyat Sarawak (PRS) berhubung perkara itu kerana mendakwa ia akan mengorbankan potensi guru-guru Sarawak.

Pada 25 Mei lepas, Presiden PRS Datuk Dr James Jemut Masing dilaporkan berkata mereka bimbang kerana di kalangan kumpulan itu, sejumlah besar akan terdiri daripada guru agama yang didakwanya tidak dilihat sebagai ustaz atau ustazah tetapi sebagai kaunselor bagi "perkara yang saya tidak pasti".

Dr Mohd Puad berkata PRS perlu merujuk kepada Kementerian Pelajaran terlebih dahulu bagi mengesahkan laporan tersebut agar ia tidak menimbulkan sebarang respons negatif oleh pihak lain.

Beliau berkata kementerian mempunyai dasar untuk memperbanyakkan bilangan guru yang berasal dari Sabah dan Sarawak untuk mengajar di negeri mereka sendiri.

"Sejak tahun lepas, memang kita cuba seimbang jumlah pengambilan guru dengan dasar 30:30:40 iaitu 30 peratus guru masing-masing dari Sabah dan Sarawak manakala 40 peratus lagi guru dari Semenanjung untuk masuk ke Institut Pendidikan Guru (IPG).

"Tetapi apa yang berlaku kadang-kadang kita berhadapan dengan mereka (guru dari Sabah dan Sarawak) yang tidak memenuhi syarat untuk jawatan guru seperti guru j-QAF, guru Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin menyebabkan kita terpaksa mengambil guru subjek tersebut dari Semenanjung," katanya.

Dr Mohd Puad berkata kementerian juga mengadakan "walk-in interview" untuk guru-guru di pedalaman Sabah dan Sarawak sejak tahun lepas.

"Kita iklankan di radio, mereka datang bawa sijil dan kita akan terus temuduga, ini khas untuk guru-guru pedalaman di mana orang-orang di Semenanjung tidak dapat sertai walk in interview ini," katanya.

7 ulasan:

  1. Tidak perlulah hantarkan guru-guru ke sini-sana. Biarlah guru tempatan berkhidmat di negeri asal mereka.

    BalasPadam
  2. Harap kementerian pendidikan akan menyelesaikan maslah kekurangan guru dalam negara terutamanya di pedalaman.

    BalasPadam
  3. apapun utamakan dahulu guru2 tempatan.

    BalasPadam
  4. penjelasan sudah pun diberikan..apa pun, guru-guru tempatan memang wajar diberikan keutamaan.

    BalasPadam
  5. sebaiknya biarlah guru tempatan sendiri diutamakan untuk mengisi kekosongan guru di Sabah. jika mereka tak cukup syarat untuk jawatan guru seperti guru j-QAF, guru Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin, mereka perlu diberikan kursus-kursus tertentu untuk melayakkan mereka. tetapi, rasanya guru tempatan sendiri tidak kurang hebatnya juga dengan guru yang dihantar dari Semenanjung.

    BalasPadam
  6. cukuplah sekadar 1 atau 2 orang guru dari semenanjung sahaja yang mengajar di setiap sekolah di Sabah dan Sarawak. jumlah mereka tidak patut melebihi jumlah guru2 tempatan..

    BalasPadam
  7. fikirkan secara logiklah dalam kes ini. Pastilah tidak seramai itu yang akan dihantar.

    BalasPadam