Ahad, Julai 18, 2010

FACEBOOK PERLUAS HAK BERSUARA

Facebook perluas hak bersuara

Laman sosial berpengaruh dalam bidang politik

LAMAN web jaringan sosial Facebook dengan pelbagai kemudahan yang disediakannya bagaikan sudah sebati dan sinonim dengan kehidupan masyarakat hari ini terutama generasi muda.

Laman yang diasaskan Mark Zuckerberg bersama rakan kolejnya pada 2004, pada mulanya hanya terhad penggunaannya kepada pelajar kolej di Boston. Bagaimanapun kini ia mempunyai lebih 400 juta pengguna aktif di seluruh dunia.

Facebook adalah jaringan sosial paling popular di beberapa negara yang penduduknya bertutur bahasa Inggeris, termasuk Kanada, Britain dan Amerika Syarikat.

Laman web ini memenangi beberapa anugerah termasuk Anugerah 100 Laman Web Klasik Terbaik oleh Majalah PC pada 2007 dan People’s Voice Award pada 2008.

Kajian sebuah firma penyelidikan di New Jersey, Student Monitor menyatakan Facebook menjadi perkara kedua paling penting di kalangan pelajar universiti, di belakang iPod.

Sementara itu satu penyelidikan dibuat Compete.com meletakkan Facebook sebagai rangkaian sosial paling banyak dilayari di seluruh dunia, diikuti MySpace.

Facebook juga mendapat pengiktirafan mahkamah.

Pada Disember 2008, Mahkamah Agung Australia memutuskan Facebook adalah protokol yang sah untuk menyerahkan notis kepada pihak pembela.

Ia adalah penghakiman pertama pernah dibuat yang memutuskan bahawa saman yang dikirimkan melalui Facebook sebagai sah di sisi undang-undang.

Bagi sesetengah syarikat, seperti syarikat penerbangan laman Virgin Atlantic, Facebook digunakan sebagai cara untuk mengawasi kakitangannya dan diketahui pernah memecat mereka melalui kiriman yang dibuat.

‘Kunjungan’ ke Facebook semakin meningkat sejak 2009. Lebih ramai pengguna melayari Facebook berbanding Google pada minggu akhir Mac 2010.

Facebook juga menjadi rangkaian sosial paling popular di lapan negara iaitu Filipina, Australia, Singapura, Indonesia, Malaysia, New Zealand, Hong Kong dan Vietnam.

Pengguna Facebook mengambil bahagian dalam perdebatan kumpulan yang dianjurkan membabitkan topik tertentu, mendaftar untuk mengundi dan mengemukakan soalan.

Lebih satu juta pengguna memasang aplikasi US Poli-tics untuk mengambil bahagian dan memberi reaksi kepada ulasan dibuat calon yang berbahas ketika pilihan raya presiden.

Satu rencana ditulis Michelle Sullivan dari Uwire.com mendedahkan bagaimana Facebook membantu meningkatkan jumlah pengundi dan pembabitan golongan muda dalam bidang politik.

Bagaimanapun di sebalik pelbagai kemudahan ditawarkannya, Facebook mencetuskan kontroversi dan diharamkan di beberapa negara berikutan apa yang disifatkan sebagai ‘sikap kurang sensitif’ sehingga menimbulkan kemarahan pelbagai pihak.

Laman web itu pernah disekat di beberapa negara termasuk Pakistan, Bangladesh, Syria dan beberapa negara Asia Barat selepas seorang kartunis mengirimkan cadangan agar semua orang melukis gambar Nabi Muhammad, yang mencetuskan kemarahan umat Islam.

Lebih dua juta umat Islam yang menjadi pengguna Facebook mengancam meninggalkan laman web itu jika kiriman itu tidak dipadamkan.

Di Thailand pula, peserta rancangan realiti ala Akademi Fantasia, Dream Chasers, Witthawat Thaokahamlue menarik diri daripada menyertai rancangan itu selepas mengkritik Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva melalui Facebook yang menerima pelbagai reaksi.

Dalam tulisannya Witthawat berkata, penunjuk perasaan mungkin tidak akan membakar bangunan jika perdana menteri membubarkan parlimen dan mengadakan pilihan raya lebih awal seperti yang dituntut. Beliau turut menggunakan ungkapan lucah dalam tulisannya.

Di Britain, satu halaman peminat Facebook menyanjung seorang pembunuh yang sudah meninggal dunia, Raoul Moat dipadam pengirimnya selepas menerima kritikan hebat Perdana Menteri David Cameron, menyebabkan laman web itu berada dalam kedudukan tidak selesa.

Laman web “R.I.P Raoul Moat You Legend” menarik 38,000 peminat, sejumlah ulasan yang memuji Moat dan menimbulkan kemarahan ahli politik.

Bagaimanapun Facebook enggan memadam halaman itu walaupun selepas dikritik Cameron.

Facebook boleh menjadi laman yang memberi banyak faedah jika digunakan dengan cara yang betul, sebaliknya ia boleh pelbagai menimbulkan masalah dan mencetuskan kontroversi jika dilayari secara tidak bertanggungjawab.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan