Bakal pendidik perlu hayati profesion perguruan: Bolkiah
KOTA KINABALU: Para bakal pendidik perlu benar-benar menghayati profesion perguruan dengan membawa citra guru itu di mana sahaja mereka berada.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Bolkiah Ismail, berkata ini kerana guru merupakan role model kepada pelajar.
“Oleh sebab itu, etika perguruan biarlah dijiwai oleh para pendidik,” katanya ketika berucap melancarkan antologi ‘Menggapai Sinar’ di Institut Perguruan Gaya (IPG) di sini, malam kelmarin.
Katanya, personaliti dan imej pelajar banyak dipengaruhi oleh didikan yang diberikan para guru selain daripada ibu bapa.
“Saya yakin dan percaya, jika kita ikhlas menjadi guru, para pelajar akan mengingati dan mengenang kita hingga bila-bila masa,” katanya.
Bolkiah berkata, guru merupakan profesion yang sangat dihormati di kalangan masyarakat, malahan ibu bapa meletakkan kepercayaan yang sangat tinggi kepada para guru.
Para pendidik kini katanya, amat beruntung kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan dan insentif, profesion perguruan juga telah diberikan perhatian oleh kerajaan sesuai dengan cabaran mendidik anak bangsa pada masa kini.
Dalam pada itu, sesuai dengan bidang perguruan yang sangat-sangat mementingkan ilmu, beliau percaya dengan penerbitan Antalogi Khemah Bahasa Pelbagai Kaum yang berjudul ‘Menggapai Sinar’ merupakan salah satu bentuk insentif dan motivasi kepada pelajar yang terlibat agar terus berkarya.
Sehubungan itu, katanya, usaha murni Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cawangan Sabah dengan kerjasama IPG itu, seharusnya dicontohi oleh institut perguruan lain di negeri ini.
Menurutnya, pada era teknologi maklumat, kepesatan dan kecanggihan teknologi ini penulisan juga kini tidak terhad kepada media cetak sahaja, malah terkini sudah ramai yang menulis melalui blog, facebook, twitter dan sebagainya.
Katanya, sejak kebelakangan ini media baharu ini seolah-olah sudah mendominasi media cetak, media elektronik sudah menjadi wadah penyebaran pemikiran, gagasan terpenting, pendapat peribadi, ilmu dan sebagainya.
Oleh itu, katanya, menulislah dengan rasa tanggungjawab, selain aspek sensitiviti masyarakat, budaya dan nilai di samping tidak mengenapikan bahasa.
Turut hadir pada majlis itu, Pengarah DPB Sabah, Zubaidi Abas dan Pengarah IPG, Salmah Abdullah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan