Penduduk Kampung Iban Ulu Merotai Mohon Kerajaan Gazet Perkampungan
TAWAU, 18 Feb (Bernama) -- Seramai 400 penduduk berketurunan Iban di Rumah Panjang Kampung Iban Ulu Merotai di sini memohon kerajaan supaya mewartakan kawasan seluas 728.4 hektar yang mereka duduki sejak 32 tahun lepas sebagai kawasan perkampungan.
Jurucakap mereka William Liang Pilai berkata mereka menduduki kawasan berkenaan sejak 1978 ketika ia masih menjadi kawasan pembalakan tetapi baru-baru ini, mereka menerima notis daripada Jabatan Perhutanan Sabah meminta mereka mengosongkan kawasan berkenaan.
"Ke mana lagi kami hendak pergi. Inilah kampung kami," katanya kepada pemberita di sini Khamis.
Notis itu menyebut bahawa masyarakat Iban berkenaan telah menceroboh kawasan di situ.
Liang berkata penduduk di situ kini hidup dalam kebimbangan kerana sudah terdapat jentera berat sedang membina jalan ke kawasan berkenaan dan dikhuatiri perkampungan dan kawasan kebun mereka akan dimasuki pada bila-bila masa.
"Kami juga merayu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan ini iaitu Pang Yuk Ming dan Anggota Parlimen Kalabakan Datuk Abdul Ghapur Salleh supaya membantu kami mencari jalan keluar kepada masalah ini," katanya.
Terdapat dua rumah panjang di perkampungan berkenaan yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas seperti sumber tenaga elektrik solar serta tangki air yang sebahagiannya dibekalkan oleh kerajaan, kata Liang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan