Khamis, Februari 11, 2010

LAPORAN DAN BUKTI AWAL YANG DITERIMA SETAKAT INI MENUNJUKKAN BAHAWA KEJADIAN DI PULAU SEBANGKAT DEKAT SEMPORNA TIDAK MEMPUNYAI KAITAN DENGAN KUMPULAN ABU SAYYAF

Insiden Di Semporna Bukan Angkara Abu Sayyaf : Hishammuddin

PUTRAJAYA, 11 Feb (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Khamis menafikan laporan sebuah stesen radio di Filipina bahawa kehilangan dua rakyat tempatan dalam satu rompakan di Semporna, Sabah, pada Isnin lepas adalah angkara kumpulan pejuang pemisah Abu Sayyaf.

Bercakap kepada pemberita di pejabatnya di sini, beliau berkata, laporan dan bukti awal yang diterima setakat ini menunjukkan bahawa kejadian itu sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan berkenaan.

"Ia tidak ada kaitan dengan aktiviti kumpulan pengganas. Kita masih menyiasat perkara ini, dan saya secara peribadi mengikuti perkembangan kes ini dengan mendalam. Bukti dan laporan yang diterima juga menunjukkan bahawa ia bukan dilakukan oleh pengganas," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong).

Dalam kejadian pada 8 Feb itu, dua rakyat tempatan berusia 25 dan 40 tahun dilaporkan hilang selepas pelantar di pusat pembiakan rumpai laut di Pulau Sebangkat dekat Semporna, Sabah dirompak oleh sekumpulan lelaki bersenjatakan raifal.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menjelaskan bahawa kejadian itu berpunca daripada kegagalan membayar gaji pekerja pusat pembiakan rumpai laut itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan