Khamis, Februari 11, 2010

"KESELAMATAN PERAIRAN SABAH DIJAGA DENGAN KEHADIRAN TENTERA LAUT DIRAJA MALAYSIA. SAYA FIKIR ADALAH AGAK SUKAR BAGI SABAH TERDEDAH KEPADA ANCAMAN PENGGANAS,"

Kedatangan Pelancong Ke Sabah Tidak Terjejas - Masidi

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Kedatangan pelancong ke Sabah tidak terjejas walaupun terdapat nasihat perjalanan yang dikeluarkan oleh Amerika Syarikat baru-baru ini berhubung keselamatan di bahagian tenggara negeri itu, kata Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Persekitaran Sabah, Datuk Masidi Manjun.

Beliau berkata setakat ini tiada laporan mengenai pembatalan tempahan oleh pelancong yang ingin melawat Sabah.

Menurutnya keadaan di Semporna, Pulau Mabul dan Pulau Sipadan yang dikatakan mungkin menjadi sasaran serangan pengganas adalah selamat, kerana pasukan keselamatan sentiasa memantau perairan di situ.

"Keselamatan perairan Sabah dijaga dengan kehadiran Tentera Laut Diraja Malaysia. Saya fikir adalah agak sukar bagi Sabah terdedah kepada ancaman pengganas," katanya pada sidang media selepas pelancaran program "Saya Nak Cuti-Jom Sabah" oleh Penerbangan Malaysia (MAS) dengan kerjasama Pelancongan Sabah di sini pada Khamis.

Notis 15 Januari itu menasihati rakyat Amerika supaya berwaspada terutama di Semporna, Pulau Mabul dan Pulau Sipadan kerana dikhuatiri kumpulan penjenayah dan pengganas merancang menyerang rakyat asing yang melawat kawasan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan