Isnin, Februari 22, 2010

"KITA BANTAH PROJEK INI BUKAN BERERTI KITA TIDAK SOKONG KERAJAAN. TAPI KERAJAAN PERLU BUAT PERTIMBANGAN, SUARA RAKYAT PERLU DIDENGAR DAHULU SESUAI DENGAN ASPIRASI 1MALAYSIA YANG MAHU MENDAHULUKAN RAKYAT,"

Penduduk Bantah Projek Empangan Di Kaki Gunung Kinabalu

KOTA BELUD, 22 Feb (Bernama) -- Penduduk Kampung Tambatuon yang terletak berhampiran kaki Gunung Kinabalu mengadakan perhimpunan secara aman kerana membantah cadangan projek pembinaan empangan di kampung itu yang dikhuatiri menjejaskan kehidupan mereka.

Ketua Kampung Tambatuon, Singkui Tinggi berkata kira-kira 900 penduduk akan kehilangan tempat tinggal dan sumber pendapatan sekiranya projek empangan di kampung itu dilaksanakan.

"Saya sudah mendapat salinan pelan pembangunan empangan setinggi 340 meter itu dari Pejabat Daerah Kota Belud.

Sekiranya projek ini diteruskan, bukan sahaja kampung kami yang tenggelam tetapi akan turut menjejaskan kampung-kampung di sekitar sini seperti kampung Bundu Paka dan Kampung Lingkubang," katanya kepada Bernama di sini pada Isnin.

Beliau berkata pembinaan empangan itu juga dikhuatiri akan menjejaskan alam sekitar kawasan perkampungan itu yang terletak berhampiran dengan Taman Kinabalu yang merupakan kawasan Tapak Warisan Dunia.

Katanya, walaupun cadangan untuk membina empangan itu penting untuk menjana projek jelapang padi dan projek agropolitan padi komersil daerah Kota Belud, namun syarikat yang terlibat dalam menyediakan laporan penilaian terhadap cadangan itu tidak pernah berunding dengan penduduk.

"Pada bulan Ogos tahun lepas, juruperunding syarikat pembinaan empangan tersebut telah menghantar peralatan untuk tujuan kerja-kerja penilaian tanah projek empangan di kampung ini tapi diarah pulang oleh penduduk kampung," katanya.

Seorang penduduk, Syaihui Sumbin berkata pihak syarikat atau kerajaan sepatutnya berunding terlebih dahulu dengan penduduk kampung sebelum melaksanakan sesuatu kajian atau projek yang boleh menjejaskan masa depan penduduk kampung.

"Kami tidak membantah pembangunan kerajaan tetapi dahulukan dulu kepentingan rakyat," katanya.

Yanggau Lansan dari Kampung Lingkubang pula berkata walaupun empangan itu tidak terletak di kampungnya namun semua penduduk di situ dan di Bundu Paka membantah sekeras-kerasnya pembinaan empangan itu.

"Kita bantah projek ini bukan bererti kita tidak sokong kerajaan. Tapi kerajaan perlu buat pertimbangan, suara rakyat perlu didengar dahulu sesuai dengan aspirasi 1Malaysia yang mahu mendahulukan rakyat," katanya.

Kampung Tambatuon terletak di lembah Kinabalu dengan di kelilingi Sungai Kadamaian dan Sungai Kilombon yang mengalir dari kawasan Gunung Kinabalu dan belum tercemar.

Kampung ini sering dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara untuk melihat keunikan budaya "tagal" (menangkap ikan setahun sekali) yang diamalkan oleh penduduk yang majoritinya dari masyarakat Kadazandusun.

Residents Against Proposed Dam At Foot Of Mount Kinabalu

Residents against proposed dam below Kinabalu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan