Adakah politik Malaysia buta bangsa?
Dalam PRU12, calon-calon PAS hanya bertanding empat kawasan DUN minoriti Melayu (kurang 50% pengundi Melayu), iaitu Indera Kayangan (Perlis), Selat Kelang (Selangor), Pengkalan Rinting (Johor) dan Nusajaya (Johor). Di Selat Kelang dan Nusajaya, calon-calon Melayu PAS menentang calon Melayu UMNO.
Pada masa yang sama, UMNO juga bertanding di empat kawasan DUN minoriti pengundi Melayu iaitu Sungai Bakap (Pulau Pinang), Jalong (Perak), Selat Kelang (Selangor), Layang-layang (Johor) dan Nusajaya (Johor).
Selebihnya, calon-calon PAS dan UMNO bertanding di kawasan majoriti Melayu (lebih 50% pengundi Melayu).
DAP pula hanya bertanding di satu kawasan majoriti Melayu, iaitu Nilai (Negeri Sembilan); itupun melawan calon MCA. Selebihnya DAP hanya bertanding di kawasan DUN majoriti bukan Melayu. Di negeri-negeri yang tidak ada kawasan majoriti bukan Melayu seperti Kelantan dan Terengganu, DAP tidak bertanding satu kerusi pun.
PKR yang dikatakan sebagai sebuah parti berbilang bangsa itu pun mengambil pendekatan yang sama. Semua calon Melayu PKR bertanding di kawasan DUN majoriti Melayu kecuali di Lunas (Kedah) dan Sungai Bakap (Pulau Pinang).
Di Sungai Bakap, calon Melayu PKR melawan calon Melayu UMNO.
Semua calon PKR India atau Cina bertanding di kawasan majoriti bukan Melayu kecuali Pengkalan Hulu (Perak), Temengor (Perak), Hulu Kinta (Perak), Tulang Sekah (Perak), Hutan Melintang (Perak), dan Bukit Melawati (Selangor).
Di Hutan Melintang dan Bukit Melawati, calon India PKR melawan calon India MIC.
Di negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kelantan dan Terengganu (di kedua-dua negeri ini tidak ada satu pun kawasan bukan Melayu), tidak ada calon bukan Islam sama ada dari DAP, PKR atau PAS menawarkan diri untuk mewakili pengundi Melayu.
Apakah signifikannya maklumat ini?
Ia membuktikan bahawa perwakilan berasaskan bangsa masih menunjangi politik Malaysia. Calon Melayu bertanding di kawasan Melayu; calon Cina dan India di kawasan bukan Melayu. Itulah pendekatan yang digunakan oleh Barisan Nasional dan kaedah yang sama digunakan oleh Pakatan Rakyat.
Pemimpin Pakatan Rakyat mengkritik Barisan Nasional menggunakan pengenalan bangsa bagi meletakkan calon-calon pilihanraya. Namun pada masa yang sama, analisis calon pilihanraya menunjukkan Pakatan Rakyat juga melakukan hal yang serupa. Ia tidak ubah seperti kuali mengatakan cerek hitam.
Saya belum lagi melihat keberanian pemimpin Cina Pakatan Rakyat seperti Lim Kit Siang atau Lim Guan Eng bertanding di kerusi majoriti Melayu. Ia sama seperti pemimpin politik Melayu Dato’ Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dato’ Seri Abd Hadi Awang dan Nasarudin Mat Isa tidak berani bertanding di kawasan majoriti Cina.
Disebabkan agihan kerusi berasaskan ras , tidak hairanlah pemimpin-pemimpin politik terpaksa “playing to gallery” apabila berhadapan dengan isu-isu agama dan bangsa.
Walaupun apa yang lagu-lagu merdu yang didendangkan oleh pemimpin-pemimpin politik, saya percaya politik Malaysia mungkin buta warna (tak kiralah biru, merah atau hijau), namun saya tak percaya bahawa ia buta agama dan buta bangsa.
Oleh kerana politik berkait rapat dengan persepsi, maka strategi terbaik ialah menconteng muka lawan dengan istilah bangsa dan rasis. Itulah politik Malaysia yang kita kenali dan itulah juga strategi politik PRU13.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan