Selasa, Disember 15, 2009

SEKOLAH UZUR BAHAYAKAN MURID

Keadaan siling di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Glenmarie, Shah Alam yang reput dan mulai pecah serta memerlukan pembaikan segera.

 

 

SHAH ALAM 14 Dis. - Sekolah ini tidak mempunyai bilangan murid yang ramai iaitu seramai 130 orang sahaja tetapi itu bukan alasan untuk mengabaikan keselamatan dan keselesaan mereka untuk belajar.

Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Glenmarie di sini yang dibuka sejak 24 tahun lalu kini berdepan dengan isu bangunan uzur yang mendedahkan murid dan gurunya kepada risiko kemalangan.

Sejak dibuka, sekolah itu tidak pernah menjalani kerja-kerja menaik taraf atau pembaikan sehingga ke hari ini.

Justeru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu mendesak agar pembinaan bangunan baru sekolah itu dipercepatkan demi keselamatan 130 muridnya.

Yang Dipertua PIBG SJKT Glenmarie, P.Nadarajan berkata, keadaan bangunan sekolah yang sudah terlalu uzur itu dikhuatiri mengundang risiko kepada murid-muridnya.

Beliau berkata, lebih membimbangkan ialah siling dan dinding sekolah yang diperbuat daripada kayu itu sudah dimakan anai-anai menyebabkan ia mula berlubang serta reput.

Keadaan itu, menurut beliau, menyebabkan ibu bapa risau tentang keselamatan anak-anak mereka kerana siling ataupun dinding sekolah itu boleh runtuh pada bila-bila masa sahaja.

"Setiap hari ibu bapa risau memikirkan keselamatan anak-anak mereka yang berada di sekolah ini kerana mengetahui keadaan di sini sudah tidak selamat untuk menuntut ilmu.

"Aduan juga sudah banyak kali dibuat kepada Pejabat Pelajaran Daerah mahupun Jabatan Pelajaran Negeri sejak tahun lalu namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil," katanya ketika ditemui di sekolah itu baru-baru ini.

Nadarajan berkata, ramai ibu bapa yang sudah menyuarakan kebimbangan mereka dan beliau berharap pihak yang bertanggungjawab dapat menyegerakan pembinaan bangunan sekolah baru yang dicadangkan di sebelah tapak sekolah sedia ada.

Beliau menambah, selain isu keselamatan, bangunan sedia ada juga sudah tidak selesa untuk digunakan oleh murid-murid dan hanya mampu menampung seramai 130 murid dalam enam kelas sahaja.

Katanya, sekolah itu bukan sahaja menerima murid dari sekitar kawasan tersebut, malah turut menerima murid dari kawasan lain seperti TTDI Jaya, Batu Tiga dan sebagainya.

Sementara itu, seorang ibu kepada murid tahun dua dan enam, C. Chandra, 37, memberitahu, bukan sahaja keadaan dinding dan siling yang sudah reput merisaukan ibu bapa tetapi juga kehadiran binatang liar seperti ular dan monyet.

"Anak saya sering mengadu dia takut untuk ke tandas kerana pernah terserempak dengan ular di dalam tandas yang juga sudah usang.

"Bukan itu sahaja, dia juga pernah juga mengadu takut untuk ke sekolah kerana khuatir diserang monyet liar yang mula menjadikan kawasan sekolah sebagai tempat tinggal kerana hutan yang berhampiran sekolah sudah diterangkan bagi projek pembangunan," katanya.

Chandra sangat berharap sekolah tersebut akan dinaik taraf dengan segera demi keselamatan semua muridnya.

Dia juga kecewa apabila melihat kemudahan yang disediakan di sekolah berkenaan juga sudah banyak yang rosak dan tidak mencukupi bagi kegunaan murid-murid seperti kerusi dan meja.

"Semua kemudahan dan peralatan sekolah juga perlu digantikan bagi memberikan lebih keselesaan kepada murid agar mereka dapat menumpukan perhatian kepada proses pembelajaran," katanya.

Seorang lagi bapa, M. Jaya Shankar, 36, turut menyokong agar pembinaan bangunan baru sekolah tersebut disegerakan bagi menjamin keselamatan dan keselesaan murid-murid.

"Walaupun belum ada perkara yang tidak diingini berlaku tetapi ia (bangunan baru) adalah perlu bagi memastikan semua murid tidak terdedah dengan risiko yang mungkin boleh meragut nyawa.

"Sepatutnya pihak bertanggungjawab mengambil tindakan dengan segera, jangan ada perkara buruk berlaku terhadap murid-murid di sini baru mahu bertindak," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr. Xavier Jayakumar bersimpati dengan keadaan sekolah itu yang semakin uzur.

Katanya, Kerajaan Negeri Selangor, beliau akan mengusahakan bantuan wang tunai sebanyak RM50,000 yang akan diserahkan terus kepada PIBG sekolah itu dalam masa dua minggu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan