Selasa, Disember 01, 2009

LALUAN KOTA KINABALU-RANAU TERPUTUS SEMENTARA AKIBAT TANAH RUNTUH

KOTA KINABALU, 1 Dis (Bernama) -- Hujan lebat selama enam jam mengakibatkan tanah runtuh berlaku di Km65, Jalan Kota Kinabalu-Ranau di kaki Gunung Kinabalu awal pagi Selasa menyebabkan beratus kenderaan terkandas.

Tanah runtuh yang berlaku kira-kira pukul 1 pagi menutupi jarak 100 meter laluan lereng bukit itu yang terletak tidak jauh dari laluan ke Taman Negara Kinabalu dekat Kundasang.

Jurutera Eksekutif Jabatan Kerja Raya Kota Kinabalu Vincent Chua berkata tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda berlaku akibat kejadian itu.

Menurutnya kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan yang dijangka selesai malam ini atau esok.

"Jalan ini masih boleh dilalui tetapi dengan menggunakan satu laluan sahaja secara selang-seli.

"Bagaimanapun, laluan itu juga berisiko sedikit kepada pengguna jalan kerana masih terdapat tanah dan batu-batu kecil yang menuruni bukit akibat hujan sejak beberapa hari ini," katanya.

Katanya kerja pembersihan menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh tiga kilometer dari kedua-dua arah laluan itu.

"Kami telah membina sebuah tembok sepanjang 80 meter bagi menghalang runtuhan tanah dan batu dari bukit menutupi jalan raya," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.

Chua berkata satu laluan dari arah Kota Kinabalu dibuka selama 30 minit setiap jam bagi meneruskan kerja pembersihan agar jalan raya boleh dibuka sepenuhnya malam ini atau awal pagi esok.

"Ramai yang terlibat dengan kerja pembersihan dan pengawalan lalu lintas, termasuk polis dan anggota Rela," katanya.

Menurutnya, sebanyak tujuh jentera berat digunakan untuk membersih dan mengangkut tanah dan batu.

Menurut Chua, kawasan berbukit di sepanjang jalan itu mempunyai kondensi air yang tinggi menyebabkan kawasan itu tidak stabil dan mudah runtuh.

Beliau berkata jalan tersebut ditutupi tanah runtuh setinggi 50 meter dan lebar 10 meter.

Beliau berkata sekiranya kawasan yang terjejas bertambah buruk, satu laluan alternatif tidak jauh dari kawasan itu akan dibuka.

Bagaimanapun, beliau berkata laluan alternatif itu hanya boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda memandangkan laluan itu belum siap diselenggara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan