Jumaat, Julai 03, 2009

UTAMAKAN KEBERSIHAN DIRI

image RANAU 2 Julai - Rakyat perlu mengutamakan kebersihan diri serta mengikuti nasihat yang diberikan oleh Jabatan Kesihatan bagi mengelak dijangkiti wabak selesema babi atau influenza A (H1N1).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Datuk Dr. Ewon Ebin berkata, walaupun wabak H1N1 di negara ini masih terkawal, rakyat digesa supaya terus mempertingkatkan amalan kebersihan diri setiap masa.

''Rakyat tidak boleh memandang ringan mengenai aspek kesihatan dalam kehidupan seharian mereka.

''Mereka perlu menuruti nasihat jabatan supaya menjaga dan mengekalkan kebersihan diri setiap masa seperti membasuh tangan sebelum makan dan selepas ke tandas serta memastikan semua makanan dan minuman yang diambil adalah bersih," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan pelancaran Penyusuan Susu Ibu, Hari Ibu dan Jururawat peringkat mukim Paginatan di Dewan Mini Kampung Paginatan di sini hari ini.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri berkata, rakyat khususnya di kawasan luar bandar perlu mengutamakan pemeriksaan kesihatan di klinik-klinik kerajaan.

Katanya, pemeriksaan yang kerap membolehkan usaha mengenalpasti tanda-tanda jangkitan wabak itu seperti batuk, demam, sakit badan dan susah bernafas dilakukan.

Dalam pada itu, beliau berkata, rakyat tidak perlu bimbang terhadap penularan wabak itu di negara ini.

''Ini kerana, kerajaan sentiasa memantau tahap penularan wabak ini termasuklah membuat pemeriksaan kesihatan semua pelawat luar yang memasuki negara ini," katanya.

Mengenai program tersebut, Ewon menggesa ibu supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kesihatan bayi mereka.

Pada majlis tersebut, beliau turut meluluskan peruntukan RM5,500 kepada Persatuan Jururawat Paginatan bagi memenuhi keperluan aktiviti berpersatuan itu pada masa depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan