KOTA KINABALU, 13 Julai (Bernama) -- Parti Maju Sabah (SAPP) menggesa pihak berkuasa terutama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk lebih teliti ketika memproses pendaftaran kelahiran yang lewat bagi mencegah pendatang tanpa izin mendapat kerakyatan dengan menggunakan dokumen sokongan atau pengakuan bersumpah palsu.
Ketua Penerangan SAPP Chong Pit Fah percaya terdapat ramai pendatang tanpa izin yang memperoleh sijil kelahiran melalui pengakuan bersumpah atau lebih dikenali sebagai Surat Akuan palsu.
"Tarikh pengeluaran sijil lahir itu diundurkan 25 tahun lepas dan umum tahu Sabah masih bergelut dengan masalah pendatang tanpa izin. Sebab itu adalah penting untuk JPN berhati-hati ketika memproses pendaftaran kelahiran yang lewat," katanya kepada Bernama, di sini Isnin.
Chong mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempena 100 hari memegang jawatan itu, Sabtu lepas, bahawa kerajaan perlu mempercepatkan kelulusan permohonan kerakyataan, termasuk pendaftaran kelahiran yang lewat.
Beliau berkata pengeluaran dokumen kerakyatan seperti pengakuan bersumpah kepada rakyat asing adalah ancaman serius kepada keselamatan negara dan mereka yang terlibat perlu dikenakan tindakan undang-undang.
Chong melahirkan keyakinan bahawa kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) sedar dengan ancaman kepada keselamatan negara itu, berdasarkan fenomena peningkatan populasi di Sabah sejak 1970.
Jumlah pendatang dari negara jiran meningkat dengan kemasukan pelarian ekonomi yang tertarik dengan pembangunan ekonomi yang pesat di Sabah dan peluang mendapat pekerjaan, katanya.
"Populasi di Sabah mencatat peningkatan 328 peratus (daripada serendah 700,000 pada 1970 kepada hampir tiga juta pada 2005) berbanding Sarawak yang menunjukkan peningkatan sebanyak 130 peratus," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan