RANAU 6 Julai – Seramai 104 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dan Indonesia ditahan dalam Operasi Bersepadu Nyah 2 di beberapa kawasan sekitar daerah ini, semalam.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Supritendan Suhaimi Hashim berkata, daripada jumlah itu 67 daripadanya ialah warga Filipina dan selebihnya Indonesia.
Beliau berkata, seramai 306 orang telah diperiksa dalam operasi selama dua hari itu yang bermula Sabtu lalu.
“Operasi dijalankan di 19 lokasi yang menjadi sarang warga asing,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Suhaimi berkata, kesemua PATI yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri itu telah dihantar ke pusat tahanan sementara Menggatal.
Katanya, operasi itu membabitkan anggota dan pegawai Pasukan Petugas Khas Persekutuan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sabah, Jabatan Imigresen Sabah, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Polis.
Beliau menambah, operasi memburu PATI di daerah tersebut akan diteruskan dari semasa ke semasa khususnya di lokasi-lokasi tumpuan warga asing.
“Operasi selepas ini akan tertumpu di kawasan-kawasan seperti penempatan setinggan, rumah-rumah kongsi, ladang dan sebagainya.
“Oleh itu, kerjasama daripada orang ramai dalam menyalurkan maklumat berhubung kehadiran PATI di tempat mereka amat diperlukan,” ujar beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan