Jumaat, Jun 05, 2009

TIADA SEKOLAH DI NEGARA INI TERUTAMA DI SABAH DAN SAWARAK YANG TERTINGGAL DARI SEGI PEMBANGUNAN - MUHYIDDIN

image KOTA KINABALU, 4 Jun (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan melalui Kementerian Pelajaran akan memastikan tiada sekolah di negara ini terutama di Sabah dan Sawarak yang tertinggal dari segi pembangunan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata kementerian telah memberi perhatian yang lebih kepada pendidikan di Sabah dan Sarawak dan semua sekolah di kedua-dua negeri itu akan mendapat pembangunan yang setara dalam beberapa tahun akan datang.

"Saya telah menghantar timbalan-timbalan menteri saya untuk menjelajah kesemua tempat, untuk melihat situasi sekolah di pedalaman, masalah guru, isu kekurangan tenaga pengajar, isu kemudahan infrastuktur, dan sekolah-sekolah yang sudah usang.

"Saya telah memutuskan dalam tempoh beberapa tahun yang akan datang, kita mahu pastikan bahawa kalau boleh, tidak ada satu sekolah pun yang tertinggal dari segi pembangunan dan kemudahan," katanya pada majlis makan malam bersama pemimpin Barisan Nasional (BN) dan anggota perkhidmatan awam di sini, hari ini.

Beliau berkata kerajaan tidak mahu dikatakan hanya memberikan perhatian kepada kawasan yang sudah maju, sedangkan kawasan yang memerlukan pembangunan masih terbiar.

"Sebab itu saya selaku Menteri Pelajaran akan berusaha seberapa boleh untuk memastikan segala kelengkapan dan kemudahan baik dari segi infrastruktur dan tenaga manusia apalagi sumber-sumber lain dan kewangan dilengkapi," katanya.

Esok, Muhyiddin dijadual merasmikan Hari Guru peringkat negeri Sabah di SMK Ken Hwa, Keningau.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata pihaknya sedar bahawa harapan rakyat terhadap pimpinan dan kerajaan BN amat tinggi dengan tiga perkara menjadi perhatian utama iaitu ekonomi, jaminan keselamatan dan kestabilan politik.

Beliau berkata dari segi politik, bila sesetengah negeri tidak diperintah kerajaan BN, pihak pembangkang cuba mengeksploitasi minda rakyat seolah-olah mereka tidak dilayan dengan adil dan memutar belitkan fakta.

"Ini membangkitkan keresahan dalam diri dan jiwa masyarakat, sedikit sebanyak ia telah menganggu gugat ketenteraman awam dan juga suasana politik dalam negara kita.

"Sebagai pemimpin dalam kerajaan, kita bertanggungjawab untuk tangani masalah ini, untuk memastikan ia tidak akan berterusan sehingga menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan dan kerajaan serta menjejaskan keyakinan pelabur asing kepada negara ini," katanya.

Muhyiddin berkata sebuah negara yang maju memerlukan semua sokongan semua pihak termasuk rakyat dan pembangkang dan tentunya tidak ada yang mahu melihat negara tertinggal jauh kebelakang disebabkan kegagalan menangani masalah dalaman negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan