Selasa, Mei 26, 2009

SARAWAK TARIK PELAJAR ASING SERTAI PROGRAM HOMESTAY

KUCHING, 25 Mei (Bernama) - Sarawak sedang mempergiatkan usaha untuk menarik lebih ramai pelancong, khususnya pelajar asing untuk menyertai program Homestay sambil mengikuti khusus Bahasa Inggeris.

Menteri Pembangunan Bandar dan Pelancongan negeri Datuk Michael Manyin berkata trend terkini menunjukkan ramai pelajar asing, khususnya dari Korea dan Jepun menyertai program Homestay ketika musim cuti sekolah sambil menyertai kursus Bahasa Inggeris di negeri ini.

"Program Homestay yang menawarkan pakej pembelajaran bahasa Inggeris semakin mendapat sambutan di kalangan pelajar-pelajar Korea dan Jepun di mana mereka akan datang ke Malaysia selama dua minggu ketika musim cuti sekolah.

"Pelajar-pelajar asing ini akan menghadiri kelas Bahasa Inggeris selain mempelajari cara hidup, kebudayaan, kraftangan dan menikmati makanan tradisional di kampung dan rumah-rumah panjang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan "Panggah" (Baruk) di Kampung Bunuk di Jalan Borneo Heights, dekat sini Isnin.

Manyin berkata kini terdapat 232 pengusaha dari 19 buah kampung menceburi dalam program Homestay di seluruh negeri Sarawak.

Beliau berkata sebanyak 10,480 pelancong telah menyertai program Homestay itu dengan membawa pendapatan sebanyak RM500,000 kepada pengusaha Homestay di negeri ini.

"Dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, sebanyak 5,632 pelancong telah menyertai program Homestay dengan perolehan kira-kira RM100,000," katanya.

Sementara itu, Manyin menyeru pengusaha program Homestay di negeri ini berdaftar dengan Kementerian Pelancongan untuk menikmati kemudahan dan faedah yang disediakan kementerian.

"Kementerian akan memberi peruntukan untuk menaik taraf kemudahan dalam rumah pengusaha program Homestay yang didaftarkan dengan kementerian. Contohnya, RM5,000 akan diberikan untuk menaik taraf tandas di setiap rumah.

"Selain itu, kementerian akan membantu pengusaha program dari segi promosi di dalam dan luar negara. Saya berharap pengusaha-pengusaha program Homestay berdaftar dengan kementerian secepat mungkin," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan