Rabu, Mei 27, 2009

AGROPOLITAN KOTA BELUD BERDEPAN MASALAH TAPAK KERANA TANAH RIZAB PADANG RAGUT MILIKI GERAN HAK INDIVIDU

image KOTA BELUD, 27 Mei 2009: Projek Agropolitan Kota Belud berdepan masalah tapak berikutan seluas 364 hektar tanah rizab padang ragut yang bakal dimajukan untuk projek membasmi kemiskinan tegar itu sudah memiliki geran atas nama individu tertentu.

imageJurucakap Pejabat Daerah Kota Belud yang enggan namanya disiarkan berkata, mengikut Ordinan Tanah Sabah, tapak berkenaan tidak boleh dipindah milik bagi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan rakyat dalam bidang penternakan seperti lembu pedaging dan tenusu serta kambing.

"Kita akan berunding dengan individu terbabit untuk melucutkan haknya mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan Ordinan Tanah Sabah dan berharap beliau akur dengan ketetapan Ordinan itu," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

image Selasa lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, mengumumkan lima projek Agropolitan bernilai RM370 juta akan dilaksanakan di negeri ini tahun ini dan tahun depan melalui program Koridor Pembangunan Sabah (SDC) yang mensasarkan 5,500 Ketua Isi rumah Miskin Tegar (KIRMT).

imageProjek Agropolitan Kota Belud di Kuala Pintasan dan Kampung Rosok/Surun memfokuskan penanaman getah dan penternakan lembu tenusu serta pedaging bernilai RM70 juta di tapak seluas 800 hektar yang akan dilaksanakan tahun ini.

Kerja awal pengukuran primeter dan kajian Kesan Alam Sekitar (EIA) akan dibuat dalam tempoh terdekat.

image Jurucakap itu berkata, selain pemilikan geran oleh individu, ada pihak mengusahakan tanah berkenaan untuk penanaman kelapa sawit yang menyalahi undang-undang tanah rizab padang ragut.

"Ini menambah masalah dan kita akan berunding dengan pihak terbabit serta berharap mereka mematuhi arahan mengosongkan tapak itu bagi membolehkan pelaksanaan Agropolitan Kota Belud, bertujuan membantu membasmi kemiskinan tegar," katanya.

image Mengenai kebimbangan lebih 2,000 penduduk Kampung Labuan dan Wakap di sini berhubung tanah rizab padang ragut di Kuala Pintasan yang diperuntukkan kerajaan negeri kepada mereka akan dilucut hak berikutan pelaksanaan Agropolitan Kota Belud untuk penternakan lembu, jurucakap itu berkata, kawasan berkenaan bukan dalam kawasan projek.

image "Mereka boleh mengusahakan tanah itu bagi menjadikan Kuala Pintasan pusat penternakan haiwan ruminan terbesar di Sabah pada masa depan, sekali gus meningkatkan ekonomi rakyat dan mengurangkan pergantungan kerajaan negeri kepada pengimportan daging," katanya.

1 ulasan:

  1. ADAKAH PELUANG PEKERJAAN DALAM BIDANG RUMINAN DISABAH????????

    BalasPadam