Rabu, Mei 27, 2009

SABAH BELANJA RM580 JUTA LAKSANA PROJEK DALAM 4 BULAN PERTAMA TAHUN INI - MUSA

KOTA KINABALU 26 Mei - Kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM580 juta dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini bagi menjalankan pelbagai projek pembangunan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, perbelanjaan tersebut merupakan 16.5 peratus daripada RM3.5 bilion yang diperuntukkan bagi program pembangunan pada tahun ini.

image "Perbelanjaan itu adalah melalui peruntukan perbelanjaan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) yang secara keseluruhan prestasi perbelanjaan sehingga 30 April 2009 adalah di tahap 54.90 peratus atau sejumlah RM10.65 bilion daripada RM19.41 bilion peruntukan pembangunan.

"Dari segi jangkaan tempoh masa, kita telah melalui 66.67 peratus atau 40 bulan tempoh pelaksanaan projek dan tinggal 20 bulan lagi sebelum berakhirnya RMK-9 untuk kita memulakan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTN) di Wisma Innoprise di sini hari ini.

Menurutnya, sebanyak 1,041 projek daripada kira-kira 4,802 projek pembangunan yang dirancang dalam tempoh RMK9 telah berjaya disiapkan.

"Daripada jumlah itu juga, sebanyak 121,346 projek dilaksanakan mengikut jadual dan 229 projek dilaksanakan mendahului jadual," jelasnya.

Dalam pada itu Musa berkata, beliau berharap semua projek pembangunan dapat dilaksanakan mengikut jadual dan memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.

Justeru itu, beliau meminta semua pihak dan agensi bertanggungjawab melakukan pemantauan rapi bagi memastikan kelancaran dan kualiti projek yang dilaksanakan.

"Saya juga meminta semua pelaksana agensi kerajaan negeri dan agensi kerajaan Persekutuan memaklumkan kepada pegawai-pegawai daerah mengenai setiap projek yang akan dilaksanakan,'' katanya.

Sementara itu, katanya, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini juga, sebanyak RM47 juta daripada RM156 juta peruntukan tahunan di bawah Peruntukan Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dibelanjakan untuk pembangunan.

Beliau menambah, secara keseluruhan sebanyak RM188 juta daripada RM1.79 bilion yang diperuntukkan di bawah RMK-9 dibelanjakan untuk tujuan sama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan