KOTA KINABALU, 24 April (Bernama)-- Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri mencadangkan agar Jabatan Laut diberi tugas untuk menanda atau membina rumah api di pulau-pulau dan batuan di seluruh perairan negara.
Katanya langkah itu penting bagi memudahkan pembuktian pemilikan, pengawasan yang efektif dan kedaulatan terhadap kesemua aset negara.
"Kita tidak mahu aset sekecil batuan pun terlepas kepada pihak lain memandangkan batuan yang timbul di permukaan air tetap memiliki perairan teritori manakala pulau yang boleh dihuni pula akan menghasilkan zon ekslusif ekonomi.
"Insiden Batu Putih seharusnya tidak berulang. Sebagai warga maritim, kita tidak dapat lari dari menghadapi fenomena ini. Jabatan Laut secara tradisinya memberikan perkhidmatan kepada keselamatan industri maritim," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat pembangunan Jabatan Laut yang terletak di bawah kementerian itu, di Teluk Sepanggar di sini hari ini.
Abdul Rahim berkata Jabatan Laut sewajarnya diberikan tugas tambahan memandangkan mereka memiliki infrastruktur, peralatan dan kakitangan yang hanya perlu ditambah bagi melaksanakan tugas memperkukuh kedaulatan negara.
Beliau berkata Majlis Keselamatan Negara memmpunyai kapasiti terhad kepada soal dasar tetapi aspek keselamatan seperti penyimpanan maklumat, data serta penandaan, Jabatan Laut patut diperkasa.
"Kita harus ingat dari sudut ekonomi perairan teritori dan zon ekonomi eksklusif adalah penyumbang besar aset dan hasil negara dari segi sumber perikanan, sumber asli minyak dan gas," katanya.
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
BalasPadam