JOHOR BAHRU 06 September 2012: “Hidup saya umpama pendatang haram. Sejak 17 tahun lalu, lebih 20 kali ditahan polis dan dimasukkan ke lokap hanya kerana ketiadaan MyKad.
“Mujurlah ada tanda suntikan vaksin Bacillus Calmette-Guerin (BCG) di lengan kiri, jika tidak saya tidak tahu apa nasib saya,” kata Abd Khaled Abu Bakar, 44, menceritakan kehidupannya selepas kad pengenalannya dirampas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada 2005.
Bapa kepada enam anak itu berkata, masalahnya bermula pada 1995 apabila dia pergi ke Pejabat JPN Petaling Jaya, Selangor untuk menggantikan kad pengenalannya. Menurutnya, malangnya pegawai bertugas menunjukkan nombor, cap jari dan gambar kad pengenalannya yang tertera dalam sistem komputer JPN milik orang lain.
“Saya membuat kad pengenalan di Semporna, Sabah ketika berusia 12 tahun sebelum ke Kuala Lumpur pada 1995 untuk mencari kerja. “Apabila majikan mahu menukar kad pengenalan kepada MyKad, saya terus ke pejabat JPN, tetapi sebaliknya berlaku.
“Selepas diberitahu nombor kad pengenalan saya milik orang lain, pegawai terbabit terus merampas kad pengenalan itu dan meminta saya pulang ke Sabah untuk memohon kad pengenalan baru,” katanya.
Katanya, ketika itu dia berdepan masalah kewangan kerana baru tiba di Kuala Lumpur dan tiada pekerjaan menyebabkannya gagal pulang ke Semporna.
Menurutnya, sejak itu dia hanya bekerja membantu rakan dengan gaji RM10 hingga RM15 sehari kerana tidak boleh bekerja di tempat lain akibat ketiadaan MyKad.
“Pada 2000, saya berhijrah ke Johor untuk bekerja sebelum isteri, Hasnah Jainuddin yang berusia 34 tahun menyusul setahun kemudian. Ketika itu, hidup kami cukup terhimpit kerana saya tiada pekerjaan tetap.
“Saya sudah membuat surat rayuan kepada JPN, tetapi malangnya ditolak. Saya pernah ke Pejabat JPN Petaling Jaya, Putrajaya dan Johor Bahru, namun kakitangan bertugas memberi alasan sama iaitu saya perlu pulang ke Sabah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan