PARAH...mangsa yang cedera di perut kini menerima rawatan di Hospital Keningau.
KENINGAU 06 September 2012: Berang sebaik menyedari adik iparnya enggan keluar bekerja, seorang lelaki bertindak ‘ala koboi’ apabila melepaskan dua das tembakan yang mengenai perut lelaki itu dalam kejadian di Kampung Samuran, dekat sini, Isnin lalu.
Mangsa dikenali sebagai Jojo, 32, kini menerima rawatan di Hospital Keningau dan berada dalam keadaan stabil selepas ditembak dari jarak dekat oleh abang iparnya dipercayai menggunakan sepucuk pistol.
Difahamkan, sebelum kejadian, kedua-dua mereka dipercayai bertengkar termasuk mangsa ada menegur abang iparnya berusia 50 tahun yang juga tidak keluar bekerja di ladang kepala sawit.
Sumber berkata, suspek kemudian mengambil sepucuk pistol lalu menuju ke bilik mangsa dan melepaskan dua das tembakan, kira-kira jam 9 pagi.
Menurutnya, suspek yang panik melihat mangsa terbaring berlumuran darah kemudian melarikan diri.
“Beberapa anggota keluarga yang terkejut dengan tembakan itu mendapati mangsa terbaring sambil menekap perutnya yang berlumuran darah.
“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Keningau bagi mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Omar Mammah, berkata sebaik menerima laporan, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian bagi melakukan siasatan.
“Siasatan mendapati, kejadian berpunca apabila kedua-dua bertengkar sebelum suspek menembak mangsa.
“Pemeriksaan di tempat kejadian turut menemui dua kelongsong peluru dipercayai pistol digunakan suspek,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Katanya, polis sedang giat memburu suspek yang melarikan diri sebaik kejadian itu, manakala mangsa masih menerima rawatan di hospital.
“Polis meminta orang ramai yang mengetahui lokasi suspek menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau di talian 087-332 222 bagi membantu siasatan,” katanya.
-------------------
Tiada ulasan:
Catat Ulasan