Isnin, Mac 26, 2012

IMM13, WARGANEGARA SONGSANG II (EPISOD V)

IMM13, WARGANEGARA SONGSANG II (EPISOD V)

image

Oleh : MUTALIB M.D

MANTAN Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Radzi Sheikh Ahmad pernah berkata, ramai anak pelarian Filipina di kem tahanan itu tidak berpeluang mendapatkan pendidikan sehingga terdedah kepada masalah sosial.

Kata Radzi lagi, perkara itu telah dibangkitkan oleh speaker Filipina yang juga Pengerusi Persidangan Antarabangsa Parti-Parti Politik Asia, Jose D. Venacia Junior ketika melawat negara ini sikit masa lalu.

“Sebelum ini kita bersetuju membina sekolah untuk anak warga Indonesia di Sabah. Filipina juga telah meluahkan hasrat sama untuk mewujudkan sekolah yang sekurang-kurangnya dapat mengajar anak pelarian mereka membaca,” kata Radzi yang akan meneliti modus operandi sekolah berkenaan termasuk guru dan kewangan.

Menurut Radzi, terdapat tiga kem tahanan di Sabah dan kebanyakan anak PATI Filipina itu daripada kalangan bayi hingga berusia belasan tahun.

Radzi turut berjanji akan meneliti tindakan pelarian Filipina itu yang sanggup membakar dokumen perjalanan semata-mata untuk mengelak daripada dihantar pulang.

image RANJAU…. Jeffrey Kitingan dan Datuk Radzi merupakan rakan lama dalam perjuangan meranjau kehidupan berpolitik, namun Jeffrey tidak mungkin berjaya kerana terlalu memegang prinsip.

“Ini akan menimbulkan masalah kerana kedutaan Filipina akan mengenakan pelbagai syarat untuk memberikan kelulusan perjalanan kepada pelarian itu untuk pulang ke negara asal mereka,” tegas Radzi yang bingung kerana ramai pelarian itu yang dilahirkan di negara ini tidak tahu berbahasa Tagalog dan langsung tidak tahu mengenai Filipina.

Radzi kesal kerana Kedutaan Filipina gagal mempercepatkan pemprosesan dokumen sehingga mengambil masa berbulan-bulan sedangkan Malaysia terpaksa menanggung kos yang tinggi termasuk menyediakan makanan dan perubatan.

Radzi memaklumkan dalam kejadian rusuhan, seramai 62 PATI yang kebanyakannya warga Filipina melarikan diri dari (PTS) Menggatal.

“Insiden pada pukul 10.30 malam itu pada awalnya membabitkan seramai 73 daripada 1,403 tahanan tetapi sembilan daripadanya berjaya diberkas semula dan dua lagi menyerahkan diri,” ujar Radzi yang mengakui rusuhan itu merupakan kali kedua selepas insiden pertama yang menyebabkan dua Pegawai Imigresen cedera.

Kehadiran ramai pelarian di Sabah dan Labuan telah mewujudkan suasana tidak aman kerana ramai daripada mereka yang pada mulanya datang sebagai pelarian akhirnya mengambil jalan pintas memohon kad pengenalan atau menggunakan dokumen palsu yang dikeluarkan sindiket.

image TANGKAP… Pendatang tanpa izin yang ditangkap dalam operasi biasa di sebuah kompleks di Kota Kinabalu. Apa tanggapan pelancong ini?

Keghairahan pelarian ini akhirnya memerangkap mereka sendiri apabila gagal mengesahkan kewarganegaraan mereka kerana sindiket yang terlibat gagal menembusi sistem saringan keselamatan yang telah dikemaskini Kerajaan Malaysia.

Dokumen kad pengenalan mereka disahkan sebagai palsu walaupun pada mulanya didaftarkan secara sah oleh sindiket di Jabatan Pendaftaran, namun nombor kad pengenalan yang diperuntukkan kepada mereka telah diberikan atau diklonkan kepada orang lain.

Manakala permohonan kad pengenalan anak-anak tidak dapat diproses kerana mencatatkan maklumat yang meragukan terutama nombor kad pengenalan mereka yang diperoleh daripada sindiket. Akibatnya, ramai Rakyat Tanpa Negara (stateless citizen) wujud di Sabah dan golongan ini menjadi beban kepada Sabah yang mengalami kemelut identiti sejak menjadi rakan kongsi tidak bistari kepada Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Sebagai contoh kita lihat nasib sebuah keluarga pelarian yang terpedaya dengan sindiket kad pengenalan projek atau palsu walaupun ketika itu mereka dilindungi kerana memiliki IMM 20 atau IMM 13.

image Kungkoy Bin Alih yang mengaku memiliki kad pengenalan H 0486829 telah mengadu kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia berhubung masalah kerakyatan yang dihadapinya setelah kad pengenalan tersebut dirampas oleh Jabatan Pendaftaran Labuan ketika beliau membuat permohonan untuk menukarkan kad pengenalan biru kepada Kad Pengenalan Bermutu Tinggi (KPT).

Berdasarkan aduan Kungkoy, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia telah menulis surat kepada Jabatan Pendaftaran Negara untuk mengetahui status kerakyatan Kungkoy.

Dalam jawapannya melalui surat bertarikh 9 September 2005, bil. PPNH.(S): 163/790-6 (89) JPN Sabah mengesahkan bahawa kad pengenalan Kungkoy tergolong dalam kad pengenalan bermasalah dan meminta pengadu datang ke Unit Khas JPN Sabah.

Namun sehingga kini kes Kungkoy masih belum dapat diselesaikan kerana masalah keciciran beberapa dokumen penting terutama data ibu bapa, sijil lahir dan sebagainya sehingga kehadiran mereka di Sabah telah mencabul undang-undang Negara kerana tidak memiliki dokumen yang sah mengikut Akta Keterangan dan Akta Imigresen.

image PENYELAMAT… Surat Akuan ini menjadi dokumen penyelamat Kungkoy yang membolehkannya bergerak ke sana ke mari, namun sering ditahan polis jika melakukan perjalanan darat atau udara, tetapi akhirnya dilepaskan.

image JAWAPAN… Berdasarkan surat JPN ini, Kungkoy dan isterinya, Siti Rasam telah merasakan diri mereka mendapat ‘Pasport Antarabangsa’ kerana kehadiran mereka di negara ini seolah-olah mendapat restu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

image GAGAL… Surat JPN ini umpama jerat yang tidak pernah lupakan pelanduk atau bagai umang-umang yang menumpang di cangkerang siput. Mana mungkin Kingkoy dapat memenuhi kehendak JPN yang bagaikan bertanya di mana tembuni Kungkoy di tanam?

image ASPAL… Resit kad pengenalan ini menepati pengertian ASPAL iaitu ‘Asli Tetapi Palsu’ kerana pemiliknya merupakan pelarian Filipina yang mengaku lahir di Sipitang, Sabah pada 10 Julai 1956.

image BANK… Akaun bank bersama di Malayan Banking, rahsia di sebalik anigma.

image KWSP… Caruman KWSP milik Kungkoy kini bernilai RM5,935.60 tidak lagi aktif kerana Kungkoy tidak lagi dapat mencarum disebabkan gagal menukarkan kad pengenalannya.

Dengan hanya berbekalkan salinan kad pengenalan, surat akuan dan surat lahir anak-anak, mereka yang tergolong sebagai Pelarian Perang kini menjadi Pelarian Ekonomi setelah semua dokumen IMM 20 dan IMM 13 mereka telah dimusnahkan ketika mereka memohon kad pengenalan melalui sindiket.

image BERAPA… Berapakah jumlah sebenar kad pengenalan projek yang dimiliki Kungkoy kerana nombor kad pengenalan yang dicatat di dalam sijil lahir Kemi H 0290149 sedangkan nombor kad pengenalan dalam salinan resit penukaran daripada kad pengenalan kepada KPT bernombor H 0486829.

image KEMBAR… Dua beradik kembar ini yang dilahirkan pada 24 April 1999 ini akan menjadi warga terapung ataupun rakyat tanpa Negara kerana status mereka 'BELUM DITENTUKAN' semata-mata kerana ibu bapa mereka tidak memiliki kad pengenalan.

image SALIB… Kesilapan ejaan nama Siti Rasam Sakib menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena apabila dicatat SALIB seolah-olah menyalib nasib kembar ke dua ini di dalam dilema kerana pasti gagal mendaftar kad pengenalan kelak.

image PETER… Sijil lahir Miya pula mencatatkan nombor kad pengenalan Kung Koy sebagai H0486829 dan nombor kad pengenalan Siti Rasam Sakib sebagai H0486834. Perhatikan pekerjaan Kungkoy sebagai Peter?

image PHILIPINES… Dalam sijil lahir Nazdri, Siti Rasam berbangsa Philipines manakala di sijil lahir Al Rashid, Al Basri, Kemi dan Miya pula mencatatkan Siti Rasam berbangsa Bajau.

image TERSURAT… Data yang tersurat dalam sijil lahir ini tidak sama dengan maklumat yang tersirat kerana Rafidah tetap warga asing kerana status ibu bapanya yang merupakan warga asing walaupun memiliki nombor kad pengenalan.

image AJAIB… Sijil lahir Nini ini amat menakjubkan kerana status anak, ibu dan bapa dicatatkan sebagai BELUM DITENTUKAN, seolah-olah dari planet Marikh!.

Lebih membingungkan Kungkoy tidak pernah gagal membuang undi sejak 1983 kerana menjadi pemilih berdaftar dan diarah memilih calon parti pemerintah.

image Begitu juga dengan isteri Kungkoy, Siti Rasam Sakib (gambar atas) yang juga seorang pelarian Filipina, namun mengaku lahir di Mesapol, Sipitang pada 5 Februari 1965 dan memiliki kad pengenalan bernombor H0486834 yang dikeluarkan pada 2 Mei 1985. Siti Rasam turut mengalami masalah yang serupa dengan suaminya dan gagal menukar kad pengenalan lamanya kepada Mykad.

Malang yang menimpa keluarga ini akan meranjau kehidupan mereka kerana nombor kad pengenalan bermasalah mereka tercatat di dalam kesemua sijil lahir anak mereka sehingga kesemuanya dikategorikan sebagai Penduduk Sementara atau kewarganegaraan yang ‘BELUM DITENTUKAN.’

Anak-anak mereka akan menjadi ‘WARGA TERAPUNG’ yang semakin ramai di Sabah dan Labuan yang dikhuatiri akan menjadi bom jangka masalah sosial dan keselamatan yang meruncing.

image PALSU… Akuan palsu atau memalsukan surat akuan? Siti Rasam telah menggunakan surat akuan ini sebagai dokumen rasmi namun hairan ia diterima pakai untuk semua urusan termasuk mendaftar kelahiran anaknya.

image TAKJUB… Jika kad pengenalan Siti Rasam Sakib palsu bagaimana boleh melabur di dalam Amanah Saham Nasional Berhad?

image Dalam pada itu, seorang lagi pelarian perang, Ebih Binti Salibu yang mendapat kad pengenalan projek H 0304896 dan mengaku lahir di Sabah 15 Mac 1954 masih dalam gerhana kerana Mykad belum diterima dan masih dalam proses siasatan Jabatan Pendaftaran Negara.

Anak Ebih, Abd Halim Barahim telah ditangkap ketika bekerja di Kota Kinabalu. Abdul Halim dihantar ke Pusat Tahanan Sementara Menggatal kerana tidak membawa sebarang dokumen ketika dalam perjalanan pulang daripada menghantar barang ke Papar. Halim telah dikirim kembali ke Filipina walaupun beliau tidak pernah menjejakkan kaki atau mempunyai saudara mara di Filipina.

Namun saya agak hairan kerana seorang abang Hakim, Syed Hassan Barahim merupakan warganegara Malaysia walau tidak melalui proses biasa.

image ASING… Abdul Halim yang dilahirkan di Sandakan pada 12 November 1986 gagal melanjutkan persekolahannya apabila permohonan kad pengenalannya tidak dapat diproses kerana masalah teknikal dan terpaksa bekerja dalam usia yang muda sehinggalah dicekup polis atas tuduhan Akta Imigresen.

image GELISAH… Ebih gelisah melihat wajah anaknya di Skrin Komputer kerana usaha untuk membebaskan anaknya gagal dan terpaksa menunggu anaknya kembali dari Filipina.

image Seorang Tukang Masak terkenal. Chef Sahak turut menjadi mangsa sindiket Kad Pengenalan Projek, namun agak malang apabila dokumen IMM 13nya dimusnahkan setelah mendapat kad pengenalan biru atas nama Abd Ghani Saidi.

H0560822 Mengikut siasatan saya, Chef Sahak yang lahir di Filipina masih kecil ketika datang ke Sabah mengikut bapanya. Ibu bapanya memegang kad pengenalan sementara beberapa ketika sebelum mendapat kad pengenalan daripada sindiket kad pengenalan projek dengan harga RM700.

Chef Sahak pernah berkahwin dengan wanita tempatan namun bercerai setelah mendapat seorang anak lelaki yang diberi nama Safri. Malangnya anak yang sudah berusia 10 tahun tersebut memiliki sijil lahir.

image KLON… Sekalipandang tidak ada cacat celanya kad pengenalan ini. Namun jika diteliti dan disemak dengan imej yang ada di dalam data komputer JPN, kad pengenalan biru ini milik orang lain yang sebenarnya telah meninggal dunia sebelum sindiket berkenaan menukar gambar pemilik asal kad pengenalan tersebut dengan gambar Chef Sahak.

Saya turut keliru dengan pengenalan kod negeri tempat kelahiran dan merasakan sistem pemberian nombor kad pengenalan ketika kanak-kanak didaftarkan sijil lahir umpama menanam pokok jelatang (pokok gatal dan mendatangkan alahan kulit) di tepi perigi.

image TUKAR… Bagaimana dan kenapa JPN mengeluarkan dokumen pengenalan sementara kepada Chef Sahak @ Abd Ghani Saidi kononnya bagi menggantikan kad pengenalan biru bernombor H 0560822 yang bukan miliknya?.

Mengikut sistem yang diguna pakai ketika ini, kod negeri yang di peruntukkan kepada Sabah ialah 12, 47, 48 dan 49, namun ia digunapakai untuk semua orang yang lahir tanpa mengira status kewarganegaraan.

Kecelaruan ini akan menyukarkan kakitangan kerajaan dan pihak penguat kuasa undang-undang menjalankan tugas kerana status kewarganegaraan kanak-kanak itu bercanggah dengan kod negeri yang digunapakai.

Sewajarnya, jika kanak-kanak itu warga asing, nombor kad pengenalannya tidak perlu dikeluarkan kepadanya sehinggalah statusnya disahkan, namun apa yang berlaku sebaliknya.

.....Bersambung DI Episod VI

EPISOD I

EPISOD II

EPISOD III

EPISOD IV

19 ulasan:

  1. IMM13 holders are refugees in our country, they are only temporarily living here while their country is unsafe to return to. It is difficult to send them back if they deliberately burn their own documents, but doing so would not entitle them to become citizens in Malaysia either.

    BalasPadam
  2. For those refugees children from Philippines, their government can consider building a school for them in Sabah just as the Indonesian government has done in Sabah, I'm sure an agreement can be achieved if the Philippine government is willing to discuss this with the Sabah government. This will enable the refugees children to get educated.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Satu cadangan yang boleh dilaksanakan agar anak mereka tidak dipinggirkan.

      Padam
    2. Semoga golongan muda dapat pendidan yang patut untuk berkhidmat kepada negara asal mereka.

      Padam
  3. It is a serious matter and it has been long outstanding in this state .
    Children are the victim and they are not choose to be born. They are neither Malaysian or other nationality??!!how ? need to do something!!

    BalasPadam
  4. Jika golongan refugee ini tidak dihantar balik, ini cuma membawa masuk lebih banyak golonang refugee yang lagi banyak.

    BalasPadam
  5. Adakah golongan ini akan dihantar balik ke negara asal? Mereka bermastautin di sini, seakan menjejas perkembangan ekonomi negeri Sabah.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Golongan tu hanya menjadi parasit dan beban sosio ekonomi Sabah.

      Padam
    2. mereka akan kembali jika negara mereka telah aman.

      Padam
  6. Status Malaysian di Sabah memang diragui. Terlampau banyak yang mendapat IC melalui saluran yang tidak diketahui dan golongan ini menikmati faedah yang akan sama dengan orang Malaysian tulen.

    BalasPadam
    Balasan
    1. RCI patut disegerakan. Kaedah tu harus dilaksanakan secepat yang mungkin.

      Padam
  7. Yang menjadi mangsa adalah kanak-kanak tersebut juga.

    BalasPadam
  8. Lebih baik pelarian2 tu dihantar semula ke negara asal. Mereka cuma mendatangkan banyak masalah dan beban kepada Sabah.

    BalasPadam
  9. Tidak mungkin kerajaan tidak tahu bahwa PATI membawa lebih banyak masalah berbanding pembinaan?

    BalasPadam
  10. Pasti kerajaan Negeri inginkan penyelesaian yang berkesan untuk PATI ini. Maka cuba buat perbincangan yang terbaik bagi memastikan masalah ini dapat diselesaikan.

    BalasPadam
  11. Sebab itulah Kerajaan Negeri memperjuangkan RCI untuk Sabah. Kerana kerajaan yakin RCI adalah kunci penyelesaian untuk semua masalah PATI yang ada di Sabah ini.

    BalasPadam
  12. Kerajaan persekutuan harus memandang serius mengenai perkara ini.

    BalasPadam
  13. jika kerajaan filipina dapat memberikan kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan Malaysia, saya yakin masalah ini tidak akan berlarutan sehingga hari ini.. mereka patut tubuhkan konsulat mereka di negeri ini supaya mereka dapat mengurus dengan lebih baik dan cekap tentang hal2 berkaitan warga mereka di negeri ini..

    BalasPadam