Rabu, Disember 07, 2011

JURU NIKAH ‘CABUT-LARI’ SEBELUM NIKAH

JURU NIKAH ‘CABUT-LARI’ SEBELUM MAJLIS PERNIKAHAN

TERKILAN… Rahman (kiri) dan salah seorang ahli keluarganya, Jamran Maidin, 43, meluahkan rasa terkilan mereka ekoran insiden yang berlaku.

TAWAU Dec 7, 2011: Tindakan seorang juru nikah yang ‘cabut-lari’ (beredar) sebelum menikahkan pasangan pengantin baru di Kg Ranggu Batu 12 di sini pagi kelmarin hampir membuatkan hari bahagia mereka bertukar menjadi ‘tragedi’ kerana terpaksa menanggung malu.

Lebih memburukkan keadaan, Utusan Borneo difahamkan juru nikah terbabit yang juga merupakan Imam Daerah di sini beredar semasa bunyi paluan kompang yang mengiringi rombongan pengantin lelaki berkenaan mula kedengaran dari kediaman pengantin wanita.

Insiden itu menyebabkan pasangan itu terpaksa bergegas meninggalkan khemah persandingan mereka untuk ‘mengejar’ juru nikah terbabit hinggalah mereka akhirnya dinikahkan pada kira-kira jam 1.15 petang di pejabat juru nikah berkenaan.

Ayah pengantin wanita, Rahman Ambo Sakka, 57, ketika ditemui semasa berlangsungnya majlis persandingan anaknya, mengaku berasa terkilan dengan insiden itu yang disifatkannya sebagai tidak sepatutnya berlaku.

“Saya harap jabatan agama berkaitan dapat mengambil tindakan tegas berhubung perkara ini, kerana insiden terbabit memberikan gambaran buruk bukan saja kepada imej juru nikah itu sendiri, tetapi dalam masa sama menjejaskan imej institusi agama,” katanya.

Menurutnya, para jurunikah bertauliah yang dilantik oleh jabatan agama juga sewajarnya perlu lebih bertimbangrasa kerana insiden yang menyaksikan rombongan pengantin lelaki terlewat ke tempat pengantin perempuan bukannya satu perkara luar biasa dan selalu terjadi.

Tambahnya, berdasarkan persetujuan awal, majlis pernikahan berkenaan dijadualkan pada jam 11 pagi, namun pengantin lelaki pula terlewat kira-kira 40 minit dari jadual asal hingga menimbulkan ‘kekecohan kecil’ di antara keluarga pengantin dengan jurunikah itu.

“Juru nikah itu sebenarnya telahpun tiba pada jam 11.05 pagi dan menyatakan yang dia hanya sanggup menunggu sehingga jam 11.30 pagi sahaja. Namun, selepas itu dia masih lagi menunggu kira-kira 10 minit dan sempat menyerahkan sijil kursus kahwin kepada isteri saya.

“Kami sudah memujuk dan merayu juru nikah itu supaya tidak meninggalkan majlis terlebih dahulu kerana pengantin lelaki dan rombongannya belum tiba. Malah, pelawaan kami untuk menjemputnya makan juga turut ditolak oleh beliau.

“Pengantin lelaki terlewat akibat kesesakan jalan tetapi mereka sentiasa berhubung dengan kami sepanjang perjalanan mereka dari Batu 4 Jalan Apas,” katanya sambil menjelaskan juru nikah itu memberikan alasan yang beliau terpaksa beredar kerana perlu menikahkan pasangan lain.

Sementara itu, pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) Tawau tidak dapat memberikan kenyataan balas berhubung insiden terbabit kerana ketua jabatan itu difahamkan sedang menyertai lawatan kerja ke Kemboja.

14 ulasan:

  1. Macam ini pun boleh, malas betul juru nikah ini.

    BalasPadam
  2. Tapi nasib baik pasangan pengantin masih berjaya dinikahkan. Tahniah kepada pasangan pengantin baru.

    BalasPadam
  3. dalam hal ini, juru nikah tersebut tak harus lari, bukankah ia hnya merosakkan majlis tersebut. ia perlu menjalankan tanggungjawabnya dgn baik.

    BalasPadam
  4. pengantin lelaki juga harus sampai mengikut masa yang ditetapkan. jika takut jalan sesak, jalan lebih awal. mgkin juru nikah tersebut mempunyai komitmen lain yang perlu dilakukan.

    BalasPadam
  5. jangan la pentingkan diri sendiri.. mustahil juru nikah itu tidak pernah menunggu lama ketibaan pengantin.. melainkan juru nikah itu masih baru..

    BalasPadam
  6. saya harap jabatan agama dapat mengambil tindakan tegas bagi mengelakkan insiden seperti itu berulang.

    BalasPadam
  7. Jurunikah tersebut tidak patut beredar daripada majlis itu. dia sepatutnya bertimbang rasa dan menunggu.

    BalasPadam
  8. apa pun selamat pengantin baru kepada pasangan berkenaan.

    BalasPadam
  9. soal nikah pun perlu ada ketepatan masa. bukan setakat masuk kerja awal pagi saja.

    BalasPadam
  10. apapun, Imam Besar cum jurunikah ni perlulah juga ada kesabaran. kan kesabaran itu adalah separuh daripada iman.tak gitu?:)

    BalasPadam
  11. Seharusnya menepati masa.. Jurunikah juga mungkin ada janji dengan pihak lain yang ingin menunaikan pernikahan. Sudah tahu acara penikahan jam 11 cubalah datang awal sebelum jam 11.. Nanti Jurunikah pula yang dituduh tidak menepati janji dengan pihak lain yang telah dijanjikan sebelum ini.

    BalasPadam
  12. Saya tidak akan salahkan Juru nikah itu, tapi aku akan salahkan pihak pengurusan perkahwinan yang membuang masa. Lagi banyak orang lain mahu menikah.

    BalasPadam
  13. Tahniah. lain kali kena la on time. mungkin ada rumah lain lagi yang tok kadi kena hadir.

    BalasPadam
  14. seharusnya ada penjelasan untuk tidak mengeruhkan keadaan.

    BalasPadam