Selasa, Mac 26, 2013

ZON SELAMAT SABAH ESSZONE KUAT KUASA HARI INI, LIPUTI 10 DAERAH

Zon Selamat Sabah kuat kuasa hari ini, liputi 10 daerah

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN

Zon selamat Sabah kuat kuasa hari ini, liputi 10 daerah

Esszone

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR 25/03/2013- Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengisytiharkan 10 daerah Zon Selamat Sabah Timur (Esszone) yang berkuat kuasa hari ini bagi melindungi tanah berdaulat ini susulan insiden pencerobohan baru-baru ini.

"Sepuluh daerah iaitu  Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau," kata Najib ketika menyampaikan ucaptama pada majlis Sambutan Perbarisan dan Perarakan Hari Polis ke-206 di sini, hari ini.

Menurut Najib, pengisytiharan melibatkan 10 daerah ini membawa kepada penubuhan satu jawatankuasa menurut Peraturan-Peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013 yang digubal oleh Menteri Dalam Negeri.

Beliau sendiri telah memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong supaya Ordinan Pemeliharaan Keselamatan  Awam 1962 dikuatkuasakan bagi memastikan keselamatan rakyat di Sabah terus terjamin.

Jawatankuasa Esszone akan dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah, pegawai eksekutif termasuk ahli-ahli yang akan dimaklumkan kemudian. Sementara Najib sendiri akan mempengerusikan jawatankuasa pemantau.

Menurut Najib, berdasarkan kajian yang dilakukan, pihaknya mendapati punca utama kejadian pencerobohan pengganas yang berlaku di Lahad Datu ekoran kewujudan beberapa penempatan yang boleh dianggap mudah terdedah kepada bahaya penyusupan masuk pendatang asing tanpa izin.

"Maka saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan akan mengadakan inisiatif penempatan semula penduduk yang tinggal di beberapa lokasi di kawasan Timur Sabah bagi maksud pemeliharaan keselamatan awam," ujarnya.

Jelas Najib, kerajaan juga akan memastikan mereka yang terlibat dalam penempatan semula ini akan dijamin kehidupan mereka menerusi sumber pendapatan, pendidikan, kesihatan dan lain-lain keperluan yang disediakan di kawasan itu.

"Ini akan turut memberi manfaat mereka yang tinggal berhampiran.

"Bukan bermakna kawasan Sabah Barat dilupakan. Buat masa ini di kawasan Timur Sabah lebih mendesak," jelas Najib sambil berkata, kawalan keselamatan di Timur Sabah akan diperketatkan dengan tambahan tujuh balai polis baru yang akan dibina.

Tegasnya, pengumuman yang dibuat beliau ini bukanlah pengisytiharan darurat dan ia tidak akan menjejaskan proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

"Ia tidak sekali-kali akan menghalang proses pilihan raya yang bebas, telus dan demokratik," ujarNajib di samping memberitahu, pelaksanaan Esszone tidak akan membawa pertambahan kepada kuasa polis.

Malah mana-mana pihak yang berpendapat haknya terjejas boleh membawa kerajaan ke mahkamah melalui proses perundangan.

Sementara itu, dipetik Bernama, kata Najib, dengan penubuhan jawatankuasa Esszone ini, kerajaan mengambil pendekatan holistik dan bukan pendekatan ketenteraan semata-mata bagi melindungi kawasan Timur dan seterusnya mencari penyelesaian kepada isu pencerobohan itu.

"Pada hari ini tiga buah kabin yang akan jadi asas kepada kewujudan Esscom tiba di Lahad Datu dan akan berfungsi tidak lama lagi," katanya.

Najib berkata, tujuh buah balai polis tambahan akan diwujudkan di kawasan Sabah Timur yang dijangka akan turut menerima kabin-kabin balai pada awal April.

Katanya, tujuh balai polis tambahan itu melibatkan kawasan Pulau Bum Bum, Pulau Gaya, Pulau Banggi, Pulau Mabul, Tambisan, Tanjung Labian dan Cenderawasih, Felda Sahabat.

"Perkara ini telah disahkan ketua setiausaha negara dan saya telah rundingkan dengan menteri dalam negeri dan ketua polis negara," katanya.

Dalam pada itu, Najib menegaskan Esszone bukannya pengisytiharan darurat di bawah perkara Perlembagaan Persekutuan.

"Ia tidak sekali-kali menghalang proses pilihan raya dan peraturan yang bebas, telus dan demokratik serta tidak memberikan sebarang kuasa tambahan kepada pihak polis," katanya.

Najib berkata, jika ada orang yang berpendapat haknya terjejas, dia boleh membawa kerajaan ke mahkamah melalui proses perundangan.

"Kehidupan akan berjalan seperti biasa di kawasan berkenaan tetapi dengan peningkatan kawalan keselamatan bagi memastikan kesejahteraan hidup rakyat," katanya.

Perdana menteri turut menjelaskan bahawa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 yang digunakan untuk menjalankan penyiasatan dan tangkapan dalam semua kes melibatkan pengganas di Sabah ketika ini ialah suatu akta melibatkan prosedur semata-mata.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan