Sabtu, Disember 08, 2012

PIHAK BERKUASA DIMINTA BANTERAS KEGIATAN WARGA ASING NIAGA DI PASAR

Pihak berkuasa diminta banteras kegiatan warga asing niaga di pasar

TAWAU 08/12/2012: Pihak berkuasa tempatan diminta membanteras kegiatan warga asing yang berniaga di pasar-pasar di daerah ini, baik di pasar yang dikendalikan oleh kerajaan mahupun yang diswastakan.

Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh berkata, kegiatan tersebut dilihat boleh menjejaskan pendapatan para peniaga tempatan kerana mereka terpaksa bersaing dengan ‘orang luar’ dalam melaksanakan perniagaan mereka.

Menurutnya, beliau ada menerima aduan daripada para peniaga tentang perkara berkenaan seperti kewujudan para peniaga dari negara China di Pasar Sin On.

Selain itu katanya, beliau turut difahamkan bahawa terdapat lot-lot gerai di pasar-pasar di daerah ini yang diusahakan oleh warga asing, yang mungkin berlaku akibat proses ‘Ali Baba’.

“Pihak berkuasa perlu bertindak dalam hal ini. Pasar atau lot-lot gerai yang disediakan oleh kerajaan seharusnya memberi manfaat kepada warga tempatan dan bukannya warga asing,” katanya.

Tambahnya, walaupun di daerah ini turut terdapat pasar atau gerai-gerai yang sudah diswastakan oleh kerajaan, tetapi peraturan masih perlu dipatuhi dan lot-lot yang tersedia tidak seharusnya disewakan kepada warga asing yang tidak memiliki kad pengenalan.

Dalam kenyataannya, Ghapur turut meminta orang ramai agar menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa seperti Majlis Perbandaran Tawau (MPT) jika mengetahui kegiatan seumpama itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan