Sabtu, Disember 08, 2012

DUA MAYAT DIPERCAYAI DIBUNUH DIJUMPAI DALAM PARIT DAN BAWAH JEMBATAN

Mayat dengan kesan tikaman dijumpai dalam parit

PARIT di hadapan sebuah bengkel kereta di mana mayat mangsa ditemui.

SANDAKAN 07/12/2012: Mayat seorang perempuan dengan kesan tikaman ditemui di dalam parit di hadapan sebuah bengkel kereta di kawasan perindustrian ringan Sedco, Batu 3 Jalan Utara di sini awal pagi kelmarin.

Mangsa, Arwidah Misran, 19, berbangsa Kagayan ditemui oleh orang awam yang lalu-lalang di kawasan itu kira-kira jam 6.55 pagi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superitendan Fadzil Mohd Ali berkata mangsa masih lengkap berpakaian dan pemeriksaan awal mendapati terdapat enam hingga tujuh kesan luka tikaman pada badan mangsa.

Katanya, turut dijumpai di tempat kejadian adalah beg tangan mangsa yang mengandungi dokumen pengenalan IMM13 serta barangan lain seperti wang dan jam tangan.

Difahamkan, tiada saksi yang melihat kejadian dan hasil temubual awal dengan penduduk setempat juga mendapati tiada sebarang kejadian bunyi bising pergaduhan atau orang menjerit meminta tolong.

Menurut Fadzil, mayat mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk bedah siasat dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan polis.

Sementara itu, sepupu mangsa yang ditemui di tempat kejadian memberitahu mangsa sering menggunakan laluan berkenaan ketika pergi dan balik dari kerja.

Difahamkan, mangsa bekerja pada sebelah malam dan hanya akan balik pada subuh.

“Selalunya, saya terserempak dengan dia (mangsa) masa dia balik kerja. Tetapi subuh ini tidak pula,” katanya.

by NOORASVILLA MUHAMMA

Body of teen girl found in drain

------------------

Mayat reput ditemui bawah jambatan

KOTA KINABALU 07/12/2012: Polis meminta kepada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mayat lelaki ditemui dalam keadaan reput di bawah jambatan ladang sawit Meton Tingkayu, Kunak, Selasa lalu untuk tampil menghulurkan bantuan.

Difahamkan mayat berkenaan ditemui separuh reput dan lengkap berpakaian baju putih bercorak batik, berseluar panjang serta memakai gigi palsu.

Ketua Polis Daerah Kunak, Deputi Superitendan M Radzali Mahmud berkata mayat itu ditemui sekitar jam 9 pagi dan hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai telah dibunuh.

“Hasil pemeriksaan polis, mayat mangsa yang berusia 30 atau 40an itu dipercayai dibunuh beberapa hari sebelum ditemui oleh pekerja ladang di kawasan itu.

“Kita turut tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada mayat mangsa.

“Bagaimanapun, polis telah menghantar mayat berkenaan ke Hospital Kunak untuk proses lanjutan,” katanya sambil menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, Radzali meminta sesiapa yang kehilangan ahli keluarga supaya datang ke IPD Kunak atau balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

“Selain itu, boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Maulana Omar di talian 089-851222,” katanya.

by RUZAINI ZULKIFLI

-------------

Tiada ulasan:

Catat Ulasan