Khamis, November 01, 2012

TOLAK ROYALTI 20%, PAS SABAH BIDAS SHAFIE APDAL

Tolak royalti 20%, PAS Sabah bidas Shafie Apdal

KUALA LUMPUR 1/11/2012: Sabah terlebih dahulu perlu menerima hasil dari sumber minyaknya sebelum diagihkan ke negeri-negeri lain.

Apabila terdapat lebihan dari agihan tersebut, barulah ia wajar diagihkan ke negeri-negeri lain, tegas Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminuddin Aling (gambar).

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pemimpin Umno Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal yang menolak tawaran Pakatan Rakyat memberikan bayaran royalti sebanyak 20 peratus jika berjaya memenangi pilihan raya umum akan datang.

"Seperti yang diucapkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, ketika sambutan hari Malaysia di Sabah sebelum ini, Islam telah memperingatkan mana-mana hasil yang diperoleh dari negeri tersebut perlu diagihkan untuk keperluan negeri itu sendiri sebelum diagihkan ke negeri lain.

"Justeru, untuk mengagihkannya (hasil negeri) untuk negeri lain dengan meninggalkan Sabah terus terpinggir dari arus pembangunan, merupakan satu perkara yang tidak boleh diterima rakyat Sabah," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Tambah beliau lagi, mengapa Sabah perlu berkongsi kemakmuran bersama di saat Sabah ketinggalan dari pelbagai aspek keperluan asas.

Katanya, Sabah masih ketinggalan dari segi jajaran jalan rayanya, bekalan air terawat, kemudahan elektrik yang menghantui penduduk Sabah sekian lama.

"Kenapa hasil dari Sabah itu tidak ditawarkan kepada Sabah terlebih dahulu?  Jika selesai masalah di Sabah, tidak mengapalah jika hendak diagihkan kepada negeri lain sekalipun," kata Aminuddin lagi.

Sambil menyifatkan Shafie sebagai pemimpin yang tidak memahami denyut nadi penduduk Sabah, Aminuddin berkata kerana ketakutan mereka terhadap kebangkitan rakyat terhadap Pakatan Rakyat menyebabkan mereka tidak sedar apa yang mereka ucapkan.

Shafie, yang juga Naib Presiden Umno, sebelum ini berkata tawaran royalti minyak 20 peratus kepada negeri itu yang dibuat pembangkang tidak dapat diterima walaupun menarik, demi perkongsian kemakmuran negara.

Menteri itu juga sebaliknya menyifatkan tawaran Pakatan Rakyat itu sebagai usaha memecahbelahkan rakyat Malaysia.

Pakatan Rakyat menawarkan bayaran royalti minyak 20 peratus kepada pengundi Sabah semenjak pilihan raya umum 2008.

Anis Nazri,

Tiada ulasan:

Catat Ulasan