Khamis, November 01, 2012

KERAJAAN PERSEKUTUAN MOHON MAAF ATAS GANGGUAN ELEKTRIK DI KKIA

Kerajaan mohon maaf di atas gangguan elektrik di KKIA

LABUAN 30/10/2012- Kerajaan Persekutuan memohon maaf kepada penumpang yang terjejas akibat gangguan bekalan elektrik di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada malam Khamis dan Jumaat lepas.

Ketika menyatakan perkara itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan memandang berat insiden itu dan mahu Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha melaporkan apa sebenarnya yang berlaku pada mesyuarat Kabinet Persekutuan Jumaat ini.

"Kita memohon maaf kepada mereka (penumpang) kerana kita tahu waktu itu ramai yang bersedia pulang merayakan Aidiladha tetapi tak dapat balik dan terpaksa menunggu di lapangan terbang kerana gangguan lampu di lapangan terbang yang tidak beroperasi dan berfungsi dengan baik.

"Kita memandang berat perkara ini. Jadi saya tunggu dalam mesyuarat Kabinet yang akan datang pada Jumaat ini, mungkin Menteri Pengangkutan boleh melaporkan apakah yang sebenarnya berlaku dan hasil siasatan. Ini (siasatan) mesti dibuat sehingga ke akar umbi bagi mengetahui apa sebab perkara itu berlaku kerana kita tidak mahu perkara itu berulang lagi," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Muhyiddin, yang kini dalam rangka lawatan sehari ke pulau bebas cukai itu, berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian itu yang menimbulkan keresahan dan kemarahan orang ramai yang ingin pulang untuk meraikan Hari Raya Aidiladha di kampung halaman masing-masing.

Malaysia Airports Berhad (MAB) pada Sabtu dipetik sebagai berkata masalah lampu tidak berfungsi di landasan KKIA mengakibatkan 51 penerbangan, sama ada terpaksa dilencongkan, ditunda dan dibatalkan selama dua malam, menjejaskan sejumlah 6,000 penumpang.

Bagaimanapun, ia disahkan selamat untuk operasi penerbangan komersil pada sebelah malam pada 9.30 malam Jumaat, berikutan pemasangan kabel baharu dan pencahayaan serta sistem sokongan bekalan elektrik mudah alih.

Sambil menyatakan simpati terhadap penumpang yang terjejas akibat kejadian luar jangka itu, Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan Sabah juga prihatin tentang insiden itu dan "Ketua Menteri (Datuk Seri Musa Aman) sendiri pun sudah mengeluarkan kenyataan meminta supaya siasatan terperinci dibuat".

"Saya juga dapat maklumat bahawa Kementerian Pengangkutan sudah meminta laporan lengkap daripada pihak pengurusan lapangan terbang sama ada MAB atau pihak kontraktor yang terlibat membantu operasi di lapangan terbang supaya memberi kerjasama.

"Apa yang penting kita mahu kenal pasti kesilapan dan siapa yang bertanggungjawab dan apakah yang perlu dibuat supaya perkara ini tidak berulang lagi. Ini adalah satu perkara malang kerana mengakibatkan penumpang-penumpang menghadapi masalah sebegitu," katanya.

Mengenai kelewatan pihak berkenaan menyiapkan projek pembesaran KKIA, Muhyiddin berkata isu itu turut dibincangkan pada mesyuarat Kabinet yang akan datang.

"Kabinet juga akan melihat perkara ini kerana kita tahu semakin lama semakin ramai termasuk pelancong dari China, Hong Kong, Korea dan pelancong domestik (yang datang ke negeri ini). Ini bermakna lapangan terbang ini semakin penting sebagai hub di rantau ini.

"Sebab itu kerja pembesaran itu perlu dilaksanakan... saya tidak tahu apa sebabnya berlaku kelewatan dan operasi lapangan yang terganggu boleh menjejaskan nama baik Malaysia terutama bakal pelawat yang ingin berkunjung ke negeri ini," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan