Rang Undang-Undang Perubatan Tradisional dilulus
KUALA LUMPUR 26 Sept. - Rang Undang-Undang Perubatan Tradisional dan Komplementari 2012 bertujuan memastikan kualiti dan keselamatan pesakit yang menggunakan rawatan alternatif tersebut terjamin, diluluskan Dewan Rakyat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, semua pengamal perubatan tradisional dan komplementari selepas ini perlu berdaftar dengan Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari yang dipengerusikan Ketua Pengarah Kesihatan.
Katanya, mana-mana pengamal perubatan tradisional dan komplementari yang tidak berdaftar dengan majlis itu selepas rang undang-undang tersebut diwartakan, tidak dibenarkan untuk menawarkan perkhidmatan berkenaan.
"Majlis ini dianggotai 21 perwakilan yang mewakili lapan badan perubatan tradisional dan komplementari yang diiktiraf kementerian. Majlis ini akan memiliki bidang kuasa seperti Persatuan Perubatan Malaysia.
"Melalui bidang kuasa majlis ini, mana-mana pengamal perubatan yang tidak sah akan diambil tindakan disiplin. Saya yakin ini permulaan baik untuk meningkatkan mutu perkhidmatan perubatan tradisional dan komplementari," katanya ketika menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Bacaan pertama rang undang- undang itu dibuat 27 Jun lalu sebelum bacaan kedua Isnin lalu dan sehingga kini, terdapat kira-kira 15,000 pengamal perubatan tradisional serta komplementari di negara ini.
Menerusi rang undang-undang itu, mana-mana pengamal perubatan tradisional dan komplementari yang mengingkari arahan pendaftaran boleh dikenakan denda antara RM30,000 hingga RM50,000 atau penjara selama dua tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan